My Add

Saturday 8 October 2011

Bajet 2012 ke arah negara berpendapatan tinggi

SABTU, 08 Oktober, 2011: Presiden Parti Makkal Sakti, Datuk R S Thanenthiran menyifatkan Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam sebagai bajet yang merangkumi semua aspek untuk rakyat di negara ini bergerak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Thanenthiran berkata, Najib menghasilkan 'belanjawan transformasi rakyat' untuk tempoh 10 tahun selepas mengenal pasti pandangan mereka dalam sesi tinjauan mesra yang dilakukannya pada tahun ini.

"Bajet yang dibentangkan semalam adalah 'daring budget' yang prihatin dan sedang ditunggu-tunggu oleh rakyat...ia bukan atas nama semata-mata tetapi Perdana Menteri mengambil kira sesi tinjauan mesra yang mencakupi semua lapisan masyarakat dari petani, nelayan sehingga pelabur," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, belanjawan itu turut mencipta sejarah baru apabila memansuhkan yuran pendidikan rendah dan menengah di semua sekolah kerajaan yang membuktikan Perdana Menteri berjaya memenuhi harapan dan hasrat semua lapisan rakyat.

Menyentuh Bajet bayangan yang dibentangkan pembangkang yang berjumlah RM220 bilion oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiga hari lebih awal daripada pembentangan Bajet 2012 oleh Najib, beliau menyifatkan ia sebagai mengaburi mata rakyat.

"Bajet pembangkang itu...mereka tidak akan buat apa-apa pun...mereka hanya menjanjikan bulan dan matahari tetapi mereka tidak berpijak di bumi yang nyata," katanya.

Datuk Seri Najib Razak semalam membentangkan Bajet 2012 berjumlah RM232.8 bilion dan mengumumkan Dasar Transformasi Nasional (DTN) bagi menaungi program transformasi yang sudah dan akan dilaksanakan ke arah menjayakan cita-cita mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu dan maju menjelang tahun 2020. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment