My Add

Saturday 8 October 2011

Bajet 2012: Siapa yang dulu dan kini terus ‘berkebajikan’?

Datuk Seri Najib menyampaikan ucapan Bajet 2012 

JUMAAT, 07 Oktober, 2011: Suasana Dewan Rakyat riuh sikit semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menyentuh tentang ‘negara berkebajikan’ ketika membentangkan Belanjawan 2012 petang tadi.

Puak di galeri pembangkang nyata terasa ibarat orang makan cili terasa pedasnya. Ini kerana Perdana Menteri mempersoalkan siapa yang dulu dan kini terus mengamalkan konsep yang baru cuba digunapakai mereka itu untuk memancing undi.

“Bukankah kerajaan Barisan Nasional sudah sejak sekian lama mengamalkan konsep negara berkebajikan?," katanya.

"Kita ucapkan tahniah kepada mereka kerana baru sedar terhadap konsep negara kebajikan ini. Namun, kita minta mereka ada sedikit rasa keikhlasan politik, janganlah berlagak seolah-olah merekalah orang pertama yang menemui formula ini,”katanya lagi

Bajet yang dibentangkan Najib nyata selari dengan konsep itu apabila ia antara lain mengumumkan ‘durian runtuh’ untuk golongan berpendapatan rendah sebanyak RM 500 secara one off (pemberian sekali).

Ia bagi golongan berpendapatan RM3,000 ke bawah yang akan melibatkan wang sebanyak RM 1.8 billion.

Kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara bantuan persekolahan RM100 diberi.

Semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara pula dapat Pemberian baucar buku bernilai RM200.

Para ibubapa juga sekarang tidak perlu memikirkan soal yuran persekolahan anak mereka di sekolah rendah dan menengah.Buat pertama kali yuran di semua sekolah kerajaan dimansuhkan.

Perdana Menteri berkata ketika pihak-pihak tertentu baru bercakap mengenai negara berkebajikan, Barisan Nasional (BN) telah lama mengamalkan konsep itu dengan menyediakan pelbagai subsidi, insentif dan bantuan "semuanya dengan semangat Rakyat Didahulukan".

Menurut beliau konsep berkebajikan kerajaan BN jelas melalui pemberian subsidi bagi setiap kilogram beras super tempatan, gula, minyak masak dan tepung gandum.

"Keseluruhan subsidi bahan makanan asas ini menelan belanja RM2.3 bilion dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaya atau miskin, bandar atau luar bandar. Oleh itu, kita ingin bertanya, tidakkah ini dinamakan negara kebajikan?," katanya.

Tidak cukup sekadar itu, Najib berkata subsidi kerajaan bukan terhad kepada bahan makanan asas sebaliknya ia juga merangkumi subsidi produk petroleum dan bantuan tunai yang melibatkan RM17 bilion.

Beliau berkata subsidi itu meliputi setiap liter petrol RON95, setiap liter diesel serta bagi setiap tong 14 kilogram gas memasak.

Selain itu, katanya kerajaan juga akan meneruskan pemberian subsidi bil elektrik berjumlah RM20 sebulan dan ke bawah yang telah dilaksanakan sejak 2009 dan pemberian subsidi itu melibatkan peruntukan RM150 juta dan  sejuta isi rumah akan mendapat manfaat.

"Segala subsidi, insentif dan bantuan ini berjumlah RM33.2 bilion. Semuanya dengan semangat Rakyat Didahulukan," katanya.

Najib berkata kerajaan juga akan menyediakan RM1.2 bilion untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA yang merangkumi bantuan kepada warga emas miskin sebanyak RM300 sebulan; bantuan kanak-kanak miskin RM100 sebulan dengan maksimum RM450 sebulan serta bantuan dan elaun kepada Orang Kurang Upaya antara RM150 dan RM300 sebulan.

Beliau berkata KAR1SMA akan memberi manfaat kepada hampir 500,000 rakyat dalam membantu meringankan beban sara hidup.

No comments:

Post a Comment