My Add

Tuesday, 25 October 2011

Deepavali disambut ketika transformasi buahkan hasil: PM

Najib Razak
ISNIN, 24 Oktober, 2011: Perayaan Pesta Cahaya kali ini adalah istimewa kerana ia disambut ketika usaha-usaha transformasi negara mula membuahkan hasil, kata Datuk Seri Najib Razak. 

Perdana Menteri berkata, bahkan usaha kerajaan dalam pembabitan dan penyampaian terus khidmat kepada masyarakat India sudah mula menunjukkan kesan.

"Pelbagai inisiatif khas yang kita laksanakan sejak dua tahun lalu sudah membuahkan hasil yang mempunyai impak nyata dan positif terhadap individu-individu dan keluarga-keluarga masyarakat India.

"Ini memberikan kami keyakinan untuk memperkukuh serta meluaskan lagi usaha kami supaya dapat menolong semua yang memerlukan bantuan," katanya dalam blognya www.1Malaysia.com.my sempena sambutan Hari Deepavali Rabu ini. 

Najib berkata, dalam hal ini, kerajaan akan mengusahakan inisiatif secara langsung untuk menambah pendapatan di kalangan masyarakat India. 

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga komited untuk merealisasikan kemahiran perniagaan masyarakat India dan akan melakukan usaha-usaha untuk memupuk potensi ini. 

"Dalam usaha untuk mencapai wawasan kita untuk menaik taraf kehidupan masyarakat India secara komprehensif, saya memerlukan komitmen dan kepercayaan masyarakat India untuk bekerja bersama saya. 

"Kepercayaan atau 'nambikei' daripada setiap rakyat Malaysia berketurunan India adalah amat penting dalam menjalin perkongsian penuh dan berkesan di antara kerajaan dan masyarakat," katanya. 

Najib berkata, ini akan memastikan kualiti hidup yang lebih baik untuk generasi masa kini serta generasi masa akan datang. 

"Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru golongan profesional dan tokoh-tokoh korporat serta pemimpin masyarakat untuk bekerjasama dengan kerajaan dan mengenal pasti kaedah-kaedah yang inovatif dan kreatif dalam usaha untuk menambahbaikkan kehidupan ahli komuniti India secara langsung dan positif," katanya. 

Najib berkata, satu perkara yang penting ke arah transformasi negara adalah hakikat bahawa setiap seorang daripada rakyat negara ini terbabit di dalam perjalanan ini. 

"Ia adalah mustahil, tanpa komitmen dan sokongan daripada setiap kumpulan, untuk mencapai hasrat yang kita inginkan bersama untuk Malaysia. Inilah sebabnya kerajaan sentiasa menekankan penglibatan semua rakyat Malaysia supaya kita sama-sama dapat menggerakkan yang terbaik demi negara kita," katanya. 

Beliau turut mengucapkan “Deepavali Vaalthukal” dan Selamat Hari Deepavali kepada rakyat Malaysia beragama Hindu. 

"Marilah kita bersama-sama dengan sahabat handai meraikan perayaan ini dengan harapan bahawa ia akan membawa cahaya kebahagiaan dan keharmonian kepada semua rakyat Malaysia," katanya. 


No comments:

Post a Comment