My Add

Friday 21 October 2011

Desakan Jeff Ooi bermotif politik - Syed Ali Alhabshee


Utusan Malaysia
JUMAAT, 21 Oktober, 2011: Tindakan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi mendesak Kementerian Dalam Negeri menggantung permit Utusan Malaysia kerana kononnya menerbitkan berita palsu berhubung rancangan menjadikan Kristian agama rasmi, adalah bermotif politik.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, ini kerana pertemuan sulit antara para paderi dalam satu majlis tertutup di Pulau Pinang pada Mei lalu itu memang berlaku dan beberapa gambar kontroversi ketika ikrar dilafazkan juga telah didedahkan.

Sambil mempertahan pendedahan Utusan Malaysia, beliau berkata, laporan akhbar Melayu paling berpengaruh itu mengenai rancangan menjadikan Kristian sebagai agama rasmi dibuat berdasarkan fakta, bukannya berasaskan dakwaan palsu yang direka untuk kepentingan pihak tertentu.

"Jika DAP yakin laporan Utusan satu fitnah, mengapa parti itu tidak berani menyaman akhbar tersebut, sebagaimana cabaran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein," katanya seperti yang dipetik daripada blog, http://umnobahagiancheras.blogspot.com.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan Ooi yang menuntut permit Utusan Malaysiadigantung kononnya menerbitkan berita palsu serta tidak berasas sehingga mencetuskan keadaan tegang antara agama, dalam isu rancangan menjadikan Kristian agama rasmi.

Namun kelmarin, bekas ahli DAP, Mohamed Razali Abdul Rahman yang berada dalam majlis itu sekali lagi meminta mana-mana pihak supaya tidak mempertikaikan kredibiliti pihak berkuasa menyiasat isu tersebut.

Ooi sebelum ini menafikan dakwaan terlibat dalam satu majlis pertemuan paderi yang kemudiannya melafaz ikrar untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan, sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Majlis tersebut terlebih dahulu didedahkan oleh bigdogdotcom menerusi entri bertajuk Making Chris tianity the official religion? dan blog Marahku di http://marahku.blogspot.com.

Jeff Ooi diminta beri bukti jelas

Dari Johor Bahru, Jeff Ooi diminta memberi bukti jelas dan tidak menyalahkan Utusan Malaysia ekoran pendedahan akhbar tersebut mengenai wujud usaha untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara baru-baru ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, jika benar perkara itu tidak berlaku dalam pertemuan sekumpulan paderi di Pulau Pinang, Jeff perlu memberikan bukti kukuh.

Katanya, Jeff juga perlu tidak melenting dengan pendedahan seorang bekas ahli parti itu,Mohamed Razali Abdul Rahman yang meminta mana-mana pihak tidak mempertikaikan kredibiliti pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut.

"Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, Jeff Ooi sepatutnya tidak mengaitkan Utusan Malaysia yang mendedahkan perkara itu. Sepatutnya beliau harus memberi penjelasan dan memberi bukti kukuh tiada usaha itu dilakukan. Beliau tidak harus takut dan salahkan pihak lain," katanya semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ooi yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit Utusan Malaysia yang didakwanya menyiarkan berita palsu.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta Jeff memfailkan saman terhadap Utusan Malaysia jika mendakwa pendedahan akhbar tersebut yang menyiarkan berita mengenai satu majlis dan ikrar untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara ini Mei lalu adalah salah.

Dalam pada itu, Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa meminta KDN supaya bertindak tegas terhadap sebarang usaha menukar agama rasmi iaitu Islam kerana ia jelas bertentangan dengan Perlembagaan negara.

"Usaha begitu jelas boleh merosakkan hubungan antara agama yang baik sebelum ini. Ia juga menimbulkan suasana tidak baik dan pihak yang terlibat harus dikenakan tindakan tegas," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Samsol Bari Jamali menyifatkan desakan supaya permit Utusan Malaysia digantung sebagai tidak masuk akal kerana Jeff sendiri yang mahukan kebebasan diberikan kepada media dalam melaporkan sesuatu isu secara telus.

"Beliau seharusnya melihat dirinya sendiri kerana melaungkan kebebasan diberikan kepada media. Kenapa pula nak gantung permit Utusan Malaysia? Kalau betul berita itu palsu, saman sahaja tetapi sampai sekarang beliau tidak saman.

"Lagi satu, sepanjang tempoh kerajaan Barisan Nasional (BN) memimpin negeri-negeri, belum pernah ada media dihalau daripada program rasmi kerajaan negeri seperti yang dilakukan kerajaan pembangkang," katanya yang juga ADUN Semarang.

ADUN Nusajaya, Datuk Abdul Aziz Sapian pula berkata, kerajaan tidak perlu tunduk kepada desakan yang dibuat wakil rakyat DAP itu sambil menyifatkan pembangkang sebagai golongan yang tidak suka kepada kebenaran.

"Kenapa perlu dituju kepada Utusan Malaysia sahaja? Tindakan ini adalah tidak adil kepadaUtusan Malaysia, kenapa tidak dituju kepada Harakah atau Malaysiakini? Adakah mereka telus sepenuhnya dalam melaporkan sesuatu berita?," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah.

No comments:

Post a Comment