My Add

Tuesday 18 October 2011

Dr. Aziz Bari dicabar letak jawatan

Oleh Hamid Karim

Pensyarah UIA didesak bertanding pilihan raya buktikan kebenaran

SELASA, 18 Oktober, 2011: Pakar undang-undang perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari dicabar meletak jawatan sebagai pensyarah dan bertanding sebagai calon pilihan raya di kawasan Parlimen Kulim Bandar Baharu atau di mana-mana kawasan pilihannya, bagi memastikan beliau seorang profesional dan tidak berselindung menjadi alat parti pembangkang di sebalik kedudukannya sebagai ahli akademik.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin, ketika membuat cabaran itu berkata, beliau sedia bertembung dengan Aziz bagi membuktikan kepada semua pihak bahawa beliau tidak pernah gentar dengan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu demi membuktikan kebenaran dalam berpolitik.

“Saya cabar Aziz bertanding pilihan raya di Kulim Bandar Baharu atau di mana-mana kawasan yang dia suka jika benar dia mahu menjadi ahli politik. Dia mesti berani meletak jawatan sebagai ahli akademik dan bertanding atas nama parti apa sekali pun. 

“Saya tiada halangan dan bersedia menanti Aziz bertanding pada pilihan raya akan datang. Dia akan tahu untung nasibnya dan boleh balik ke kampungnya di Sabak Bernam,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Cabaran supaya Aziz meletak jawatan sebagai pensyarah undang-undang UIA turut disuarakan Senator Mohd Ezam Noor apabila bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyifatkan Aziz tidak neutral.

Mohd Ezam berkata, bukti dimilikinya juga menunjukkan Aziz banyak menerima habuan parti pembangkang khususnya dalam pembayaran royalti membabitkan beberapa buku tulisannya terbitan Institut Kajian Dasar (IKD) yang ada kaitan dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Aziz sudah membuktikan dirinya tidak neutral sebagai ahli akademik dan condong menyokong parti pembangkang dengan menggunakan kedudukannya. Dia memang banyak mendapat keuntungan daripada Anwar dan sebab itu, kenyataan politiknya sentiasa menyebelahi parti pembangkang.

“Saya juga cabar Aziz mendedahkan jumlah royalti diterimanya baru-baru ini menerusi buku tulisannya kerana jumlahnya amat lumayan,” katanya.

Zulkifli dan Mohd Ezam membuat cabaran itu selepas berceramah pada Debat Rakyat anjuran Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) di Kampung Jalan Kebun, di Shah Alam, malam kelmarin.

Beberapa hari lalu, Aziz mengeluarkan kenyataan kepada sebuah laman portal mempertikai kedudukan Sultan Selangor yang bertitah mengenai isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan membuat laporan polis mendesaknya memohon maaf kepada pihak istana kerana menghina sultan, sekali gus mencetuskan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam.

No comments:

Post a Comment