My Add

Wednesday 19 October 2011

HIMPUN diterima selagi berpaksikan prinsip Rukun Negara

Koh Tsu Koon


Bernama
RABU, 19 Oktober, 2011: Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) di Stadium Shah Alam, Sabtu ini adalah sesuatu yang boleh diterima selagi penganjur dan peserta melahirkan pandangan secara sederhana berpaksikan prinsip Rukun Negara dan gagasan 1Malaysia. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata dalam realiti masyarakat pelbagai kaum dan agama dengan setiap kumpulan mempunyai keprihatinan berbeza, perhimpunan seumpama itu merupakan satu hak asasi yang dibenarkan untuk menyuarakan pandangan secara positif dan sederhana.

"Tetapi saya harap ia tidak akan membawa kepada peringkat yang lebih berbahaya dari segi boleh mewujudkan dua kumpulan yang bertentangan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pertandingan koir lagu-lagu patriotik antara Kelab Rukun Negara sekolah-sekolah menengah peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas kebimbangan sesetengah pihak perhimpunan itu bakal menimbulkan polemik antara agama, Dr Koh yang juga Presiden Gerakan berkata beliau yakin jika dibuat berdasarkan konsep kesederhanaan berlandaskan prinsip Rukun Negara, perhimpunan itu boleh mencapai matlamat dan tidak akan membawa kepada terjadinya sesuatu yang buruk. 

Beliau berkata, kumpulan yang mahu menyuarakan pandangan pada perhimpunan itu perlu mempertimbangkan realiti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama agar tidak menyebabkan ketegangan kaum, sebaliknya meningkatkan persefahaman bersama. 

Berhubung kenyataan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini yang mendakwa Gerakan membayar sejumlah wang untuk menarik orang ramai menghadiri pembukaan cawangan Gerakan di Tawau, Dr Koh berkata tuduhan seumpama itu seakan satu penghinaan kepada mereka yang hadir pada majlis itu. 

"Tuduhan seumpama ini hanya menghina peserta-peserta di dalam program berkenaan dan ini adalah tidak kena khasnya di bawa ke dalam dewan semasa perbahasan bajet. 
"...Dan tidak sepatutnya isu kepartian dibawa masuk ke dalam perbahasan, oleh itu wakil rakyat kita telah menuntut supaya beliau dikenakan tindakan disiplin," katanya. 

Katanya beliau juga difahamkan bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak dan Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan, Datuk Rahman Dahlan yang juga Ahli Parlimen Kota Belud telah mengeluarkan kenyataan bahawa kenyataan itu merupakan pandangan peribadi Abdul Ghapur 

Dr Koh berkata beliau menyambut baik pendirian pemimpin-pemimpin Sabah mengenai isu itu yang menyifatkan pandangan berkenaan bukan mewakili
pendirian Umno atau Barisan Nasional (BN).

Perlu patuhi arahan ditetapkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula meminta supaya penganjur Perhimpunan Sejuta Umat mematuhi peraturan yang ditetapkan dan memastikan perhimpunan itu berlangsung dalam suasana aman.

Beliau berkata, pihak penganjur itu telah mendapat permit dan berharap mereka dapat mengawal peserta daripada melakukan perkara yang tidak diingini pada perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

"Saya tengok penganjur telah beri akujanji yang dia berbeza dengan semangat yang tidak boleh dikawal, maknanya ini untuk pertahankan agama Islam dan penyatuan umat.

"Jadi saya rasa suasana dan keadaan berbeza dengan perhimpunan berdasarkan sifat marah. Bila berhimpun dalam stadium juga dapat kurangkan masalah,” katanya di lobi Parlimen, hari ini. 

No comments:

Post a Comment