My Add

Sunday 23 October 2011

Isu pengenalan diri masyarakat India selesai

NAJIB bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri Majlis Malam Hiburan Jom Ke Deepavali anjuran persatuan Peniaga Lebuh Ampang, Kuala Lumpur, malam tadi.
Oleh Mohd Azis Ngah

AHAD, 23 Oktober, 2011: Kerajaan berjaya menyelesaikan masalah dokumentasi pengenalan diri kira-kira 3,200 masyarakat India di negara ini yang kini sudah sah menjadi warga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata daripada jumlah itu, 1,642 kes membabitkan masalah dokumentasi pengenalan diri dan tidak memiliki MyKad, manakala 1,600 lagi warga India yang memohon kerakyatan Malaysia.

iBeliau berkata, penyelesaian masalah tertunggak itu hasil kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN), Pasukan Petugas Pelaksanaan (SITF), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Najib yang mempengerusikan sendiri SITF, berkata kerajaan sentiasa serius dan komited menyelesaikan masalah rakyat terutama membabitkan soal kewarganegaraan dan dokumen pengenalan diri.

“Saya sendiri mempengerusikan (SITF) sejak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Kita sudah jumpa ribuan rakyat yang bermasalah dalam perkara ini. Sekarang, kerajaan sudah selesaikan banyak kes dan masih banyak yang perlu diproses sebelum diluluskan. 

“Jika tiada masalah, permohonan mereka akan diluluskan tidak lama lagi. Ini adalah komitmen kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Hiburan Jom Ke Deepavali anjuran Persatuan Peniaga Lebuh Ampang, malam tadi.

Selain masalah itu, Najib berkata kerajaan juga memberi perhatian dalam menaik taraf Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dengan peruntukan RM100 juta untuk kerja penyelenggaraan melalui Bajet 2012. 

Peruntukan itu adalah kesinambungan sokongan dan peruntukan pada 2009 berjumlah RM100 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi untuk membina bangunan baru di 213 SJKT seluruh negara. Tahun ini juga, kerajaan mengumumkan peruntukan khas RM250 juta kepada SJKT dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

“Kerajaan tidak pernah meminggirkan kaum India, cuma kita perlu bekerja kuat untuk sama-sama membangunkan negara. Kerajaan sediakan RM100 juta kepada golongan usahawan kecil India melalui skim pinjaman mikro di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia supaya mereka terus berjaya dalam sektor perniagaan,” katanya. 

Katanya, usahawan India juga berpeluang mengembangkan perniagaan mereka melalui Skim Dana Pembiayaan PKS melalui peruntukan RM2 bilion. 

Selaras dengan usaha transformasi kerajaan dan menaik taraf kehidupan masyarakat India secara komprehensif, Najib meminta masyarakat India memberikan komitmen dan kepercayaan sepenuhnya kepada kerajaan untuk menyelesaikan pelbagai isu. 

Katanya, pelaksanaan dasar dan projek khas yang memberi impak langsung kepada masyarakat India akan diteruskan dengan terbaru, kerajaan meluluskan peruntukan RM80 juta sebagai sokongan penubuhan Koperasi Suria, iaitu saluran alternatif menyediakan perkhidmatan kredit mikro membantu peniaga kecil dan sederhana kaum India. - BM



No comments:

Post a Comment