My Add

Thursday 13 October 2011

Kampung jadi pekan moden

Oleh Syuhada Choo
Abdullah dan Shahrizan Salian

Berita Harian
KHAMIS, 13 Oktober, 2011: Kampung dan kawasan luar bandar akan berubah menjadi pekan atau bandar kecil moden yang mampu menarik pelaburan sekali gus meningkatkan pendapatan dan menyediakan peluang pekerjaan baru kepada penduduk menerusi Program Transformasi Luar Bandar, bermula tahun depan.

Bagaimanapun, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, memberi jaminan usaha itu tidak akan mengorbankan nilai dan budaya masyarakat desa.

Katanya, program transformasi itu akan dipacu menerusi sistem penyampaian bersepadu oleh seluruh agensi kerajaan berkaitan, yang akan mengubah landskap sosioekonomi luar bandar menjelang Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi pada 2020.

“Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2012 Jumaat lalu, membuktikan kesungguhan untuk membangunkan kawasan luar bandar supaya masyarakatnya tidak ketinggalan menikmati kemakmuran dan kesejahteraan hasil kemajuan negara selama ini,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Datuk Seri Najib Razak menegaskan Program Transformasi Luar Bandar adalah pelengkap program transformasi menyeluruh negara di mana ia menjadikan kawasan luar bandar mampu menarik pelaburan swasta, menyediakan peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi, serta menggalakkan generasi muda kembali berkhidmat.
Shafie Apdal
Antara langkah yang akan diambil ialah mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC sebagai pusat integrasi perkhidmatan mencakupi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian; perbankan dan insurans; khidmat nasihat perniagaan; latihan dan kemahiran; klinik serta ruang niaga.

Sebagai permulaan, Terminal Agrobisnes Negara atau TEMAN di Wakaf Che Yeh, Kelantan dan Gopeng, Perak akan dimajukan sebagai projek perintis RTC. Di samping itu, empat lagi RTC akan dibangunkan di Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak.

Selain itu, mewujudkan Dana Perkhidmatan Profesional bagi golongan profesional seperti peguam, doktor dan akauntan untuk membuka firma di pekan kecil.

Bagi tujuan itu, dana berjumlah RM100 juta disediakan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) secara pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus.

Di samping itu, surat cara perjanjian pembiayaan skim ini turut diberi pengecualian duti setem.

 Melaksanakan Program Lonjakan Mega Luar Bandar seluas 6,500 hektar di 11 kawasan Projek Agropolitan seluruh negara yang membabitkan tanaman komoditi, penanaman kontan dan ternakan ikan sangkar dengan peruntukan sebanyak RM110 juta. 

RISDA akan melaksanakan program tanaman baru getah dan penanaman semula getah serta kelapa sawit dengan peruntukan RM140 juta yang akan memanfaatkan hampir 20,000 pekebun kecil.

Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, landskap kampung dijangka berubah dengan infrastruktur asas yang lengkap meliputi bekalan air, elektrik dan jalan raya.

“Infrastruktur lengkap akan memudahkan proses pembelajaran generasi muda seterusnya membantu mempertingkatkan kecemerlangan pendidikan yang akan menambah bilangan mereka yang berjaya memasuki sekolah berasrama penuh atau melanjutkan pelajaran ke universiti, termasuk di luar negara.

“Penduduk luar bandar juga akan lebih mudah menguruskan pemasaran produk pertanian dan hasil kampung mereka, sekali gus menambah pendapatan mereka.

“Matlamat kerajaan adalah membawa keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat luar bandar untuk menikmati pembangunan negara tanpa mengorbankan nilai serta budaya masyarakat desa termasuk semangat bergotong-royong dengan mengambil Jepun sebagai model,” katanya.

Sementara itu, pada sesi dialog Bajet 2012 dengan sidang pengarang Berita Harian di Balai Berita di sini, semalam, Setiausaha Bahagian Ekonomi dan Antarabangsa Kementerian Kewangan, Dr Sundaran Annamalai berkata, menerusi RTC semua hasil pertanian dan perikanan akan diedarkan di pasar raya besar dan kedai runcit yang dibina di situ.

No comments:

Post a Comment