My Add

Monday 17 October 2011

Lontar kritikan membina, titah Sultan Selangor

SULTAN Sharafuddin Idris Shah bersama kakitangan pengurusan kanan UPM selepas majlis penyampaian ijazah kepada graduan sempena Majlis Konvokesyen Ke-35 UPM di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM Serdang, Selangor, semalam. - Utusan/FAUZI BAHARUDIN
Oleh ABD. HALIM HADI TALIB

Uusan Malaysia
ISNIN, 17 Oktober, 2011: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan warga universiti supaya tidak menjadikan institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai pentas untuk memperjuang agenda yang berkepentingan sendiri.

Baginda yang juga Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) bertitah, universiti tidak dibina untuk dimanfaatkan oleh golongan pelajar dan kakitangan universiti yang ingin memperjuangkan agenda tersendiri, khususnya yang berkepentingan parti.

"Beta harap para pelajar dan pensyarah dapat mengendalikan pemikiran mereka secara waras dan memberi pertimbangan yang sewajarnya sebelum mengambil sesuatu tindakan.

"Dalam apa jua tindakan, kepentingan umum semestinya mengatasi kepentingan peribadi," titahnya pada majlis Konvokesyen Ke-35 UPM di Serdang, semalam.

Majlis ini merupakan hari kedua konvokesyen yang dihadiri baginda bagi menyampaikan sebahagian daripada ijazah kepada 7,327 graduan penerima pelbagai peringkat kelulusan.

Titah baginda, saranan itu bagaimanapun tidak bermaksud para pensyarah dan cendekiawan di IPT tidak boleh mempunyai perbezaan idea dan pendapat tetapi sebarang pandangan yang dikemukakan harus memberi manfaat kepada umum.

"Lontarkan pendapat dan kritikan yang membina dan ikhlas, namun ia harus menghormati dan menyokong kemajuan universiti," titahnya.

Justeru, baginda mahu universiti mengekalkan matlamat asal sebagai pusat pemikiran yang serius dalam melahirkan pelajar yang dapat menyumbang kepada kemajuan bangsa, negara dan manusia sejagat.

"Bersama-sama bersatu hati, mengutamakan integriti dan mempertingkatkan produktiviti untuk melonjakkan universiti ke tahap yang lebih tinggi," titahnya.

Dalam pada itu, baginda turut menyatakan hasratnya untuk melihat UPM menjadi sebuah universiti yang terunggul hasil daripada pengisian pengajian yang berkualiti dan berstatus tinggi.

"Beta harap setiap graduan yang keluar dari kampus ini menjadi rebutan kerana kelayakan yang diperoleh," titahnya.

Sehubungan itu, baginda menyeru pensyarah supaya menanam perasaan dan dedikasi yang tinggi dan penuh dalam menyampaikan pendidikan terbaik demi pembangunan negara.

Di dalam titahnya, baginda turut memuji pencapaian cemerlang tenaga pengajar UPM yang merupakan lima daripada 12 penerima Anugerah Akademik Negara (AAN) yang diumum oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Mereka ialah Prof. Emeritus Tan Sri Omar Abdul Rahman yang menerima gelaran tertinggi pengiktirafan iaitu Anugerah Tokoh Akademik Negara, diikuti Prof. Dr. Aini Ideris (Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk) dan Prof. Madya Mohamad Pauzi Zakaria (Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal) .

Dua penerima anugerah kategori Pengajaran AAN pula diterima oleh Prof. Datuk Dr. Mohamed Shariff Mohamed Din (Sains Kesihatan) dan Prof. Madya Dr. Mohammad Shatar Sabran (Sastera dan Sains Sosial).

ANN sebagai pelantar tertinggi untuk menyanjung ahli-ahli akademik negara yang telah menunjukkan kecemerlangan secara berterusan dalam bidang akademik dan telah banyak mengharumkan nama negara.

No comments:

Post a Comment