My Add

Friday 21 October 2011

Mayat Gaddafi diheret dan dikasari

JUMAAT, 21 Oktober, 2011: Dari Kaherah, Reuter melaporkan, rakaman televisyen menunjukkan mayat bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang berlumuran darah diheret dan dikasari pasukan tentera anti Gaddafi.

Dalam rakaman yang disiarkan Al Arabiya, muka Gaddafi berlumuran darah dan tentera anti-kerajaan mengheret mayat bekas pemimpin itu di atas tanah manakala terdapat kesan luka di kepalanya.

Sementara itu, rangkaian televisyen Al Jazeera menyiarkan rakaman mayat Gaddafi yang hampir bogel sehingga paras pinggang diletakkan di atas tanah.
Gambar yang diambil dari video merakamkan keadaan Gaddafi berlumuran darah diangkat ke atas trak oleh tentera kerajaan sementara Libya di bandar Sirte, semalam. – REUTERS

Selain itu, Al Jazeera turut menyiarkan gambar mayat Gaddafi di belakang ambulans dan mukanya tidak berlumuran darah.

Dari Tripoli, AFP melaporkan, pemimpin kerajaan sementara Libya, Mustafa Abdel Jalil akan mengisytiharkan pembebasan Libya dan memberi maklumat terperinci mengenai kematian Muammar Gaddafi, kata perdana menteri kerajaan sementara, Mahmud Jibril kepada pemberita.

“Abdel Jalil akan muncul hari ini atau selewat-lewatnya esok untuk mengisytiharkan pembebasan negara ini dan mengumumkan maklumat terperinci mengenai kematian Gaddafi,” kata orang nombor dua Majlis Peralihan Kebangsaan Libya (NTC) itu.

“Dengan pengumuman itu semua mereka yang jahat, termasuk Gaddafi telah dihapuskan dari negara tercinta ini ... ini adalah masa bagi Libya untuk memulakan negara baru, sebuah Libya yang bersatu, satu rakyat dan satu masa depan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment