My Add

Thursday 20 October 2011

Pelengkap transformasi negara


NAJIB Tun Razak pada sesi bergambar bersama beberapa anggota Kabinet sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia Ke-23 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut hadir Muhyiddin Yassin (enam, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali (lima, kanan). – BERNAMA


                           Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan THOMAS CHONG
Utusan Malaysia
KHAMIS, 20 Oktober. 2011: – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program transformasi digital yang dikenali sebagai Digital Malaysia akan menjadi pelengkap kepada dasar transformasi negara.

Menurut Perdana Menteri, ia sejajar dengan hasrat membawa Malaysia ke arah negara berpengetahuan dan berpendapatan tinggi memandangkan ia komponen utama ke arah pencapaian negara maju menjelang 2020.

‘‘Digital Malaysia akan memberi penekanan kepada dua tonggak iaitu kreatif dan inovatif serta produktiviti, MDeC akan meneraju usaha untuk mencapai perkara ini.

‘‘Salah satu inspirasi kita ialah meningkatkan sumbangan ICT kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) daripada 9.8 peratus kepada 17 peratus menjelang 2020,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Antarabangsa (IAP) Koridor Raya Multimedia (MSC) ke-14, di Putrajaya, semalam.

Hadir sama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili.

Dasar transformasi negara bermula dengan Dasar Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Politik, Program Transformasi Luar Bandar, Inisiatif Reformasi Strategik dan terbaru Digital Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, dari segi kedudukan digital ekonomi, Malaysia berada pada tangga ke-36 daripada 70 buah negara dan menyasarkan kedudukan 20 teratas menjelang 2020.

Dari segi IMD World Competetive Scoreboard pula, kata Najib, Malaysia berada pada tangga ke-16 daripada 59 buah negara dan menyasarkan kedudukan 10 teratas menjelang 2020.

‘‘Dari segi GNI, Digital Malaysia menyasarkan RM75 bilion menjelang 2020, diikuti RM93 bilion daripada inisiatif ICT sedia ada dan RM126 bilion yang dijangka dalam ETP dan GTP yang akan membawa sumbangan GNI daripada Digital Malaysia kepada RM294 bilion menjelang 2020,” katanya.

Beliau turut menyifatkan mesyuarat IAP hari ini amat berhasil kerana dapat berbincang mengenai keperluan mengembangkan potensi keusahawanan setiap individu selain membolehkan kerajaan menyediakan budaya dan ekosistem potensi sebenar usahawan,

Najib optimis untuk Malaysia mencapai sasaran yang menjurus ke arah keperluan menukar syarikat ke dalam perniagaan e-perdagangan dan perniagaan dalam talian pada sesi perbincangan bersama pakar-pakar dalam bidang digital.

‘‘Kita berbincang tentang keperluan untuk memastikan inovasi dan cara pemikiran kreatif yang bermula dari bangku sekolah kerana kita pada masa ini sedang menilai semula sistem pendidikan untuk membolehkan ia menyuntik pemikiran kreatif dalam sistem pendidikan negara.

‘‘Kita juga berbincang tentang keperluan untuk menggalakkan mereka yang gagal supaya tidak putus asa tetapi kegagalan itu sebagai permulaan kepada kejayaan,” katanya.

Bagi golongan muda pula, Perdana Menteri menambah, mereka akan digalakkan memiliki semangat keusahawanan, berfikir dan bertindak secara inovatif dan kreatif untuk menjadikan mereka lebih efektif serta terbuka kepada masyarakat global.

Katanya, kerajaan juga sedang mengkaji untuk mengkomersialkan 300 hak harta intelek yang dibangunkan oleh universiti supaya ia boleh dipasarkan secara berperingkat.

No comments:

Post a Comment