My Add

Thursday 6 October 2011

Dewan Rakyat lulus Perbadanan Pembangunan Kg. Bharu

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 diluluskan malam tadi melalui undi belah bahagian dengan menyaksikan jumlah penyokong kerajaan yang bersetuju jauh melebihi daripada undi menentang.

Dalam proses pengundian tersebut, undi penyokong kerajaan berjumlah 72 undi manakala undi pihak pembangkang sebanyak 28 undi.

Sementara itu, Menteri wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dengan penuh emosi mempertahankan keputusan kerajaan memperkenalkan rang undang-undang tersebut dengan menjelaskan bahawa badan itu tidak berniat untuk mengambil tanah sesiapa.

Beliau menegaskan kewujudan perbadanan itu semata-mata mahu membangunkan kawasan Kampung Baru dan seterusnya membela nasib penduduk Melayu kawasan itu.

''Perbadanan ini berfungsi sebagai pemudah cara untuk membangunkan Kampung Baru dan untuk itu kerajaan telah meluluskan empat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terdiri daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji, Perbadanan Putrajaya dan Permodalan Hartanah Berhad untuk bersama-sama membangunkan Kampung Baru.

''Kita tidak akan memberi ruang kepada syarikat swasta kerana kita mahu menjaga kepentingan orang Melayu," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 pada persidangan Dewan Rakyat, malam tadi.

Terdahulu, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terus berada di belakang Raja Nong Chik mempertahankan keputusan kerajaan memperkenalkan rang undang-undang itu dengan menyifatkannya sebagai satu usaha untuk membangunkan kawasan berkenaan.

Di samping itu mereka turut menyifatkan bahawa langkah itu sebagai bukti yang kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib penduduk Kampung Baru malah sentiasa berusaha meningkatkan taraf hidup orang Melayu di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun ahli-ahli Parlimen pembangkang menentang rang undang-undang tersebut dengan membuat tuduhan bahawa kerajaan mahu menggadaikan masa depan penduduk Kampung Baru.

Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) ketika mencelah berkata, Kampung Baru boleh dianggap sebagai pusat nadi orang Melayu dan sewajarnya ia dibangunkan agar kawasan itu tidak terus ketinggalan.

Sehubungan itu beliau berkata, langkah kerajaan itu tepat pada masanya kerana Kampung Baru memerlukan satu bentuk pembangunan yang boleh memberi manfaat kepada seluruh penduduk di kawasan berkenaan.

Datuk Yusoff Mahal (BN-Labuan) juga ketika mencelah berkata, beliau amat bersetuju dengan langkah kerajaan memperkenalkan rang undang-undang itu kerana ia semata-mata bertujuan membela nasib penduduk Kampung Baru.

''Kita tidak mahu nasib orang Melayu di Kampung Baru terbenam. Mereka perlukan pembelaan sewajarnya daripada pihak kerajaan," ujarnya.

Dalam pada itu sebaik sahaja Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bangun berhujah ketika sesi perbahasan rang undang-undang itu berlaku pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dengan pembangkang.

Ia berpunca daripada kenyataan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) ketika celahan yang cuba mengaitkan pembentangan rang undang-undang itu sebagai cubaan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan menggadai orang Melayu.

Ia ditambahkan lagi dengan tuduhan Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam) yang turut menuduh UMNO mahu menjual penduduk Melayu Kampung Baru.

Ekoran itu Bung Moktar yang sedang berbahas sebaliknya mendakwa yang menjual orang Melayu adalah Pas kerana parti mendewa-dewakan komunis sebagai pejuang.

Keadaan itu telah memaksa Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee mengetuk penukul untuk mententeramkan keadaan apabila masing-masing tidak mahu mengalah. - Utusan

No comments:

Post a Comment