My Add

Wednesday 19 October 2011

Sesak: Orang ramai disaran guna pengangkutan awam

Bernama
SELASA, 18 Oktober, 2011: Orang ramai terus disaran mengurangkan kebergantungan pada kenderaan persendirian, sebaliknya menggunakan sistem pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan di ibu negara.

Menyarankan demikian Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata kadar pemilikan kereta di kalangan pengguna kenderaan kini terus meningkat dari lapan hingga 12 peratus setiap tahun sepanjang tempoh lima tahun lepas.

"Selain itu, faktor kadar kenderaan dinaiki seorang individu juga terlalu tinggi jika dibandingkan dengan pengguna (individu) yang menggunakan pengangkutan awam iaitu nisbahnya 85:15,” katanya ketika menjawab soalan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Tan bertanyakan mengenai pelaksanaan kerajaan dalam memperbaiki sistem pengangkutan dan kesesakan lalu lintas di ibu negara. Raja Nong Chik berkata halangan-halangan lalu lintas kesan dari sikap pemandu yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas dan kejadian-kejadian seperti kemalangan serta projek-projek pembangunan juga merupakan salah satu punca berlakunya kesesakan lalu lintas.

Dalam pada itu, beliau berkata sistem pengangkutan di bandaraya ini kini memuaskan dengan rangkaian jalan raya yang lengkap, kadar kebolehsampaian yang tinggi dan sistem pengangkutan awam yang semakin meningkat. 

No comments:

Post a Comment