My Add

Monday 17 October 2011

UMNO tidak ambil Pulau Pinang jika BN menang

Utusan Malaysia
ISNIN, 17 Oktober, 2011: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa UMNO tidak akan mengambil alih pentadbiran di Pulau Pinang sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, jawatan Ketua Menteri negeri itu akan ditentukan menerusi perbincangan dengan kesemua parti komponen lain atas semangat kerjasama sebagai satu keluarga yang besar.

Tambah beliau, perkara itu sudah dibincangkan dengan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman supaya UMNO negeri itu tidak membangkitkan mengenainya.

''UMNO tidak akan menuntut pucuk pimpinan negeri di Pulau Pinang sebaliknya kita akan bekerjasama dengan parti komponen lain seperti Gerakan, MCA dan MIC (dalam isu ini).

''Gabungan ini perlu menawarkan pilihan dan penyelesaian yang terbaik buat rakyat dan bukannya menjadi sebahagian daripada masalah (buat rakyat)," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gerakan Ke-40 di Kuala Lumpur, semalam.

Di hadapan kira-kira 2,000 perwakilan Gerakan, Najib melaungkan keyakinan bahawa BN mampu merampas semula Pulau Pinang daripada pembangkang.

Najib menyeru semua ahli Gerakan dengan sokongan parti-parti komponen BN lain agar sentiasa turun padang dan mendekati serta menyelami penduduk Pulau Pinang.

''Kita mesti bekerja bersungguh-sungguh dan membuktikan kepada mereka (penduduk Pulau Pinang) bahawa BN merupakan pilihan terbaik berbanding pembangkang bukan sahaja untuk mereka, malah untuk rakyat Malaysia," katanya.

Najib mengingatkan seluruh ahli Gerakan dan parti komponen BN lain bahawa PRU-13 menjadi cabaran terbesar yang akan menentukan masa depan BN dan negara selepas ini.

Sementara itu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menyifatkan kenyataan Perdana Menteri adalah kesepakatan yang telah lama diamalkan dalam BN.

Tsu Koon berkata, tindakan itu berlandaskan prinsip perkongsian tanggungjawab di kalangan parti komponen BN demi kebajikan penduduk Pulau Pinang yang telah diamalkan sejak 42 tahun lalu.

"Begitupun, adalah jelas ini semua bergantung kepada keputusan PRU13 dan Gerakan serta parti-parti komponen lain perlu terlebih dahulu bergerak mendekati rakyat untuk mendapatkan semula sokongan," katanya sebagai reaksi kepada jaminan Najib mengenai perkara itu.

Beliau juga menegaskan keputusan mengenai jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang akan dibuat menerusi perbincangan dengan kesemua parti komponen BN atas semangat kerjasama sebagai satu keluarga.

No comments:

Post a Comment