My Add

Sunday, 2 February 2014

Ambil iktibar nasib pengundi Permatang Pauh

MUAR, SABTU, 01 Februari, 2014: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang perlu mengambil iktibar nasib pengundi di Permatang Pauh yang seumpama habis madu sepah dibuang apabila ditinggalkan begitu sahaja oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas memenangi kerusi Parlimen itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, Permatang Pauh boleh dijadikan ukuran kerana kawasan Parlimen berkenaan berada di negeri yang ditadbir kerajaan pembangkang dan tiada masalah untuk wakil rakyatnya melaksanakan pembangunan jika benar-benar mahu berkhidmat untuk rakyat.

Beliau seterusnya mempersoalkan kemampuan Anwar sekiranya menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang dan dilantik sebagai menteri besar untuk membangunkan lagi Selangor sedangkan Parlimen Permatang Pauh yang diwakilinya masih mundur dan jauh terkebelakang.

"Ini perlu dijadikan pengajaran. Kita perlu melihat realiti di Permatang Pauh bahawa kerajaan Pulau Pinang adalah kerajaan pembangkang diketuai Ketua Menteri, Lim Guan Eng, mustahil mereka tidak boleh membangunkan Permatang Pauh.

"Mereka berdua sangat berkuasa dalam pembangkang, tapi apa yang mereka buat untuk Permatang Pauh? Sekiranya Anwar menang dan menjadi menteri besar, adakah beliau mampu untuk membangunkan sebuah negeri sedangkan kawasan kecil seperti Permatang Pauh pun tidak ada apa-apa perubahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengunjungi rumah Ketua MCA Bahagian Muar, Tay Puay Chuan di pekan Sri Menanti, Parit Jawa dekat sini hari ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment