My Add

Sunday, 2 February 2014

Bina bandar Melayu di Subang

Oleh TERMIZI CHE ANUAR

KUALA LUMPUR, JUMAAT 31 Januari, 2014: Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) menyokong keputusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) membina sebuah perbandaran baharu bagi menempatkan majoriti usahawan dan komuniti Melayu di Subang, Selangor.

Presidennya, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, cadangan tersebut dapat memastikan kepentingan perdagangan dan perniagaan golongan bumiputera dapat diperkasakan terutama di negeri Selangor yang menjadi nadi ekonomi negara.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Pengilang dan Usahawan Mara meletakkan keyakinan dengan pembinaan Malaysia Institut of Aviation (MIAT) di kawasan tersebut akan memberi nilai tambah serta dapat mewujudkan peluang pembelajaran kepada anak-anak Melayu.

“Kami juga bersedia menjadi jambatan antara Mara dengan kerajaan negeri Kelantan bagi memastikan program bandar Melayu dapat direalisasikan di negeri ini demi masa depan anak-anak Melayu dan bumiputera.

“POKB juga yakin kawasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa boleh dijadikan bandar kembar dengan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad berkata, pihaknya sedang membina sebuah perbandaran baharu yang menempatkan majoriti usahawan dan komuniti Melayu serta bumiputera di Subang, Selangor.

Nilai pembangunan kasar (GDV) bandar tersebut lebih RM1 bilion dan berkeluasan 20 hektar terletak di persekitaran LTSAAS.

Sheikh Ahmad Dusuki turut menghargai kepemimpinan Ibrahim selaku Ketua Pengarah Mara kerana berjaya melakukan pelbagai transformasi membabitkan agensi kerajaan itu.

“Perkara itu termasuklah beberapa keputusan berani di luar kotak pemikiran bagi memastikan kepentingan kaum Melayu dan bumiputera terus terpelihara ketika negara menuju Wawasan 2020.

“Kami juga mengucap syukur bahawa 17 anak syarikat Mara telah mencatat perolehan lebih daripada RM1 bilion pada tahun 2013 dan POKB juga berharap Mara dapat juga melebarkan program sama di Kota Bharu," ujarnya.- UTUSAN 

No comments:

Post a Comment