My Add

Sunday 2 February 2014

Kekalkan keharmonian kaum

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

* NAJIB Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor, Muhyiddin Yassin dan isteri, Noorainee Abdul Rahman, Liow Tiong Lai (empat dari kiri), Dr. Wee Ka Siong (kanan) dan S. Samy Vellu (kiri) menggaul Yee Sang semasa Rumah Terbuka MCA sempena Tahun Baharu Cina di Dewan San Choon, Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak seluruh rakyat untuk terus berusaha mengekalkan keamanan dan keharmonian kaum yang dinikmati selama ini agar negara dapat mengecapi kejayaan lebih besar di masa hadapan.
Perdana Menteri berkata, ini kerana keamanan dan keharmonian kaum adalah kunci utama kepada kejayaan membangunkan negara selama ini.

"Saya berharap Tahun Baharu Cina akan membuka satu lembaran baharu bagi Malaysia untuk terus melakukan transformasi ekonomi, negara kita akan lebih berjaya dan ekonomi kita akan lebih mantap.

"Ini semua mestilah berasaskan kepada hubungan yang baik di antara kaum kerana keamanan dan keharmonian adalah tiang seri kepada kejayaan negara kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka MCA sempena Tahun Baharu Cina di Wisma MCA, Jalan Ampang, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Najib melahirkan keyakinan tinggi terhadap hubungan baik serta kukuh yang terjalin selama 40 tahun antara Malaysia dan China.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada sahabat kami di China dan saya percaya tahun ini adalah tahun paling bertuah bagi hubungan kedua-dua negara," katanya.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Liow Tiong Lai mengucapkan terima kasih kepada para pemimpin negara dan ribuan rakyat berbilang kaum yang menghadiri majlis tersebut kerana memberikan keyakinan dan sokongan kuat kepada pimpinan baharu parti itu untuk membawa transformasi kepada MCA.

Beliau juga mengajak rakyat untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup pada masa ini.

Terdahulu, Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong bersama-sama lebih 10,000 rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA itu.

Kemeriahan majlis tersebut lebih terasa dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan yang juga bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Sementara itu, Najib dan isteri juga meluangkan masa menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Gerakan yang diadakan di Dewan Wawasan Tun Dr. Lim Keng Yaik, Menara PGRM, di sini.

Ketibaan beliau pada pukul 11.40 pagi itu diiringi Muhyiddin dan isteri serta disambut Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Kiong dan kepimpinan tertinggi Gerakan.

Yang turut hadir Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor - UTUSAN. 

No comments:

Post a Comment