Oleh HUSSAINI AMRAN
![]() |
* NAJIB Tun Razak dan Rosmah Mansor bersama empat anak pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden yang mengunjungi beliau dan isteri di Taman Duta, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Hamzah Zainuddin (dua dari kiri) dan ibu saudara kanak-kanak terbabit, Shaleena Norshal (kanan). - MINGGUAN/HAFIZ JOHARI |
Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan, pertimbangan khas tersebut amat sukar diperoleh sebelum ini.
Namun, menurut beliau, kerajaan Sweden memberi persetujuan untuk membenarkan anak-anak Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal pulang ke Malaysia atas dasar hubungan baik antara dua negara serta semangat yang terkandung dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak.
"Yang penting, supaya mereka dapat terlepas daripada tekanan-tekanan.
"Kalau berada di Sweden sudah tentu di sana amat sukar bagi mereka untuk menghadapi suasana yang begitu menekan perasaan," katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di Taman Duta, hari ini.
Aishah, 14, dan adik-adiknya iaitu Ammar, 12; Adam, 11 dan Arif, 7, yang kelihatan lesu dan keletihan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada pukul 7.04 pagi hari ini selepas menempuh perjalanan selama 17 jam dari Stockholm dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS).
Mereka yang diiringi Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin dan saudara mara kembali ceria apabila bertemu Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang menyambut ketibaan mereka serta meluangkan masa hampir sejam untuk beramah mesra serta makan tengah hari bersama empat kanak-kanak terbabit.
Azizul Raheem dan Shalwati sebelum ini telah direman sejak 18 Disember lalu dan penahanan mereka sudah pun dilanjutkan sebanyak tiga kali.
Azizul Raheem merupakan pegawai Tourism Malaysia di Sweden, manakala Shalwati seorang guru yang sedang dalam tempoh bercuti tanpa gaji, ditahan kerana dituduh mendera anak mereka atas alasan tidak bersolat.
Najib turut mengucapkan tahniah kepada Hamzah di atas kejayaan dalam misi yang dilaksanakan secara tanpa publisiti bagi membawa pulang empat kanak-kanak berkenaan ke Malaysia.
"Kita mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan mereka supaya tidak diganggu dari segi emosi serta psikologi.
"Saya juga telah dimaklumkan bahawa ibu bapa mereka telah bersetuju supaya anak-anak itu ditempatkan bersama ibu dan bapa saudara di Kelantan," ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan akan menguruskan perjalanan mereka ke Kelantan serta bersedia menghulurkan bantuan bagi memenuhi keperluan anak-anak Azizul Raheem dan Shalwati.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuat pemantauan secara berterusan supaya mereka dijaga dengan baik," jelasnya.
Perdana Menteri memberitahu, kerajaan akan berusaha sedaya upaya membantu Azizul Raheem dan Shalwati mempertahankan kes mereka.
"Kita terpaksa terima hakikat bahawa ada undang-undang khas yang telah wujud di Sweden, jadi kita terpaksa mengambil tindakan untuk mempertahankan ibu bapa mereka berdasarkan kepada peruntukan undang-undang dan kaedah tertentu," katanya.
Najib turut menjelaskan, insiden yang melibatkan Azizul Raheem, Shalwati dan empat anak itu amat menyentuh perasaannya sebagai seorang bapa.
Sementara itu, Rosmah berkata, beliau pernah terfikir untuk menghadap Raja dan Permaisuri Sweden sekiranya Aishah serta adik-adiknya tidak dapat pulang ke Malaysia.
Menurut beliau, pasangan diraja Sweden itu dikenali di atas sifat keprihatinan mereka terhadap kanak-kanak dan rakyat.
"Alhamdulillah, sebelum saya sempat sampai ke situ, Hamzah telah berjaya bawa mereka balik," ujarnya.
Rosmah juga menyatakan kesediaan beliau dan Najib membantu empat kanak-kanak terbabit sambil berharap mereka dijaga dengan baik oleh saudara mara di Kelantan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment