My Add

Tuesday, 4 February 2014

'Laporan polis untuk bukti, jamin keselamatan pemain'

KUALA LUMPUR, ISNIN, 03 Februari, 2014: Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab. Rasid Jusoh mengesahkan bahawa pihak pengurusan skuad The Titans telah membuat laporan polis malam semalam berhubung insiden yang berlaku dalam perlawanan Piala FA dengan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Menurutnya, laporan tersebut telah dibuat oleh Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syahrizan Mohd. Zain di Kuala Terengganu pada pukul 9.10 malam semalam.

"Laporan itu dibuat supaya ada bukti dan atas faktor keselamatan pemain, bukan untuk mengeruhkan lagi suasana," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru itu terpaksa ditangguhkan ketika JDT mendahului 2-1 apabila semua pemain T-Team enggan kembali ke padang bagi memulakan permainan separuh masa kedua. Mereka dikatakan tidak berpuas hati dengan insiden yang berlaku di dalam terowong ke bilik persalinan semasa rehat.

Menurut laporan polis itu, Syahrizan mendakwa pemain T-Team, Elvaldo Rodriguez telah ditumbuk di muka oleh pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) manakala jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo telah disepak di bahagian kemaluan.

Bagaimanapun, Ab. Rasid meminta penyokong T-Team agar bertenang dan menunggu siasatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah kelab itu turut membuat aduan kepada badan induk itu.

"Kami meminta penyokong menunggu siasatan FAM.

"Bagi saya insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku. Terdapat beberapa pemain import yang terkenal di peringkat antarabangsa dan insiden ini pasti memberi imej buruk kepada sukan bola sepak negara.

"Walaupun kami membuat laporan polis, kami tidak mahu perkara ini terus berpanjangan. Kami hanya mahu bermain bola sepak dan tidak mahu perkara ini menjadi lebih keruh," katanya.

Kelmarin, FAM melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengesahkan satu mesyuarat khas akan diadakan pada Khamis ini bagi menentukan keputusan perlawanan atau perlawanan ulangan akan diadakan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment