Selaraskan pencen bekas wakil rakyat
MELAKA, SABTU, 01 Februari, 2014: Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) meminta kerajaan mengkaji kadar pencen yang diterima bekas wakil rakyat yang pada masa ini berbeza mengikut negeri.
Presidennya, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, pelarasan itu perlu dibuat kerana ada dalam kalangan ahlinya menerima bayaran pencen yang tinggi berikutan kenaikan elaun semasa wakil rakyat khususnya di Selangor dan Sarawak.
Selain itu, jelasnya, pelarasan berkenaan dapat meringankan beban bekas-bekas wakil rakyat memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.
"Mubarak mengharapkan kerajaan dapat menyelaraskan semula bayaran pencen agar semua bekas wakil rakyat dapat menerima bayaran yang sama rata.
"Apabila kenaikan gaji dalam kalangan wakil-wakil rakyat ini diselaraskan di semua negeri, maka bekas wakil rakyat di negeri berkenaan akan menerima kenaikan pencen," katanya.
Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Agung Mubarak Melaka Ke-13 di Taman Tasek Utama, Ayer Keroh, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Presiden Mubarak, Datuk Jaafar Hamzah dan Yang Dipertua Mubarak Melaka yang baharu, Tan Sri Ahmad Nordin Md. Amin.
Jelas Abdul Aziz, isu berkenaan telah dibangkitkan beberapa tahun lalu namun masih belum dibawa ke sidang Dewan Rakyat untuk dibincangkan.
Sementara itu, dalam mesyuarat agung tersebut, Ahmad Nordin yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Tangga Batu dipilih sebagai Yang Dipertua Mubarak Melaka yang baharu bagi penggal 2014-2017.
Beliau menang tanpa bertanding bagi menggantikan Datuk Jaafar Lajis yang tidak mempertahankan jawatan.
Turut menang tanpa bertanding ialah bekas Setiausaha Kerja, Datuk Nazari Adzim bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua dua jawatan Naib Yang Dipertua pula disandang Datuk Long Said dan Datuk Lim Soo Kiang.
Datuk Md. Di Ab. Ghani mengekalkan jawatan Setiausaha. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment