62% wanita isi jawatan pengurusan, profesional
PUTRAJAYA, RABU, 30 April, 2014: Sebanyak 62 peratus atau 205,557 penjawat awam di peringkat pengurusan dan profesional pada tahun lalu terdiri daripada kaum wanita.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, jumlah itu secara tidak langsung membuktikan wanita diberi peluang untuk memegang jawatan kepimpinan tertinggi dalam sektor awam.
Selain itu, beliau berkata, jumlah penglibatan wanita pada peringkat pembuat dasar dalam sektor awam juga meningkat kepada 33.7 peratus pada tahun lepas.
Jumlah itu melebihi daripada 30 peratus sasaran asal yang diumumkan kerajaan pada 2004 dan saya gembira untuk mengumumkan kita telah berjaya melepasinya.
Sebelum ini peratusan penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan adalah sebanyak 18.8 peratus pada 2004, 30.5 peratus (2009) dan 31.7 peratus (2012)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Persidangan Kepimpinan Wanita Dalam Sektor Awam dan Swasta di Hotel Pullman di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Institut Pengurusan Wanita (WIM), Tan Sri Napsiah Omar.
Sementara itu, Azizah berkata, kementerian turut menyasarkan pembabitan 30 peratus golongan wanita memegang jawatan penting di dalam syarikat yang tersenarai pada Bursa Malaysia menjelang akhir 2016.
Beliau berkata, sasaran itu selari dengan polisi yang diumumkan kerajaan untuk melibatkan wanita pada peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat pada tahun 2011. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment