My Add

Thursday, 1 May 2014

85 peratus pelatih GiatMara terima upah rendah

KUCHING, RABU, 30 April, 2014: Sejak GiatMara ditubuhkan 28 tahun lalu, kira-kira 85 peratus daripada 302,000 pelatih yang dilahirkan hanya berada dalam pasaran kemahiran dengan bayaran upah yang rendah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Rosdi Ismail berkata, keadaan itu berlaku berikutan ramai lepasan GiatMara yang berkelulusan dalam bidang kimpalan industri minyak dan gas tidak bekerja dalam sektor sepatutnya.

Katanya, punca utama masalah itu adalah kurang maklumat mengenai peluang pekerja dalam industri minyak dan gas yang bersesuaian dengan kemahiran mereka.

“Dalam masa sama, mereka tidak dapat bekerja dalam sektor yang sepatutnya berikutan tidak melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sudah tentu keadaan ini agak membimbangkan kerana sekiranya ia dibiarkan berterusan akan menyebabkan kerugian besar terhadap kerajaan dan pelatih sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Urusan Kejuruteraan dan Limbungan Brooke, GiatMara Malaysia dan Gigih Avenue Sdn. Bhd., di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Rosdi berkata, adalah menjadi hasrat dan harapan GiatMara melahirkan tenaga mahir untuk negara dan membantu mereka memperoleh pekerjaan yang baik serta menikmati pendapatan yang tinggi.

Katanya, di Sarawak terdapat 30 Pusat Latihan Teknikal GiatMara dan daripada jumlah itu, hanya lapan pusat yang menawarkan kursus kimpalan asas iaitu di Betong, Lawas, Limbang, Lubok Antu, Miri, Santubong dan Selangau.

“Sejak kursus itu diperkenalkan pada 1993, Sarawak sebenarnya berpotensi melahirkan 300 hingga 400 pelatih setahun dan kini jumlah keseluruhan pelatih dalam bidang itu adalah 2,176 orang.

“Berdasarkan jumlah itu, GiatMara mampu mencapai visi Wawasan 2020 iaitu menjadi negara maju dalam perindustrian melalui kerjasama dengan pelbagai agensi dan syarikat tempatan serta antarabangsa," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment