Juwita umpama pokok untuk berteduh
KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Mei, 2014: Beberapa Persatuan Ibu Tunggal melahirkan rasa gembira apabila mereka kini mendapat pembelaan dan perhatian sewajarnya daripada kerajaan setelah bernaung di bawah Sekretariat Jaringan Untuk Ibu Tunggal Malaysia (Juwita) Kebangsaan setahun lalu.
Menurut Naib Presiden Majlis Persatuan Ibu Tunggal Malaysia, Murtini Kasman, Juwita kini umpama 'pokok' untuk mereka berteduh demi menyuarakan isi hati golongan ibu tunggal yang memerlukan ekoran kesempitan hidup akibat ketiadaan suami.
Jika dulu setiap persatuan mempunyai hala tuju masing-masing, namun kini selepas bernaung di bawah satu bumbung, amat mudah bagi kami menyampaikan permintaan golongan ini bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Namun kita berharap kerajaan dapat memberi lebih perhatian kepada golongan ini dengan memberikan peruntukan sewajarnya kerana ramai antara mereka tidak berupaya untuk menyara hidup masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Mingguan Malaysia dalam majlis sambutan Hari Ibu, Juwita Ratu Hatiku yang dianjurkan Juwita, di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil merangkap Yang Dipertua Juwita.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ibu Tunggal An-nur Kuala Lumpur dan Selangor, Sarah Hashim pula berkata, penubuhan Juwita amat tepat pada masanya kerana sekretariat berkenaan turut memberi fokus kepada pembelaan kepada ibu tunggal daripada pelbagai kaum yang tidak hanya tertumpu kepada masyarakat Melayu dan bumiputera.
Katanya, melalui Juwita, mereka mudah untuk menerima bantuan terutama dalam aspek perundangan kerana ramai antara mereka tidak tahu berhubung hak masing-masing setelah ditinggalkan suami.
Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Ibu Tunggal Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor, Haziah Abd. Wahab berkata, Juwita diharapkan dapat menjadi perantara antara golongan ibu tunggal dan pihak persatuan demi membantu mereka dalam melaksanakan program-program berkaitan dengan menyalurkan peruntukan bersesuaian bagi tujuan itu.
Dengan adanya program-program yang dilaksanakan, golongan ibu tunggal tidak akan merasakan kesunyian dan keseorangan selain dapat berkongsi pengalaman masing-masing sekali gus mampu memberi keceriaan kepada mereka," katanya.
Menurut Pengerusi Muafakat Ibu Tunggal Johor, Rahana Mohamed, Juwita akan turut menjadi platform menyatukan persatuan-persatuan ibu tunggal di seluruh negara bagi melaksanakan kerjasama bersepadu dalam usaha memartabatkan golongan tersebut di negara ini.
Kita optimis apa yang diperjuangkan di peringkat kebangsaan akan terus dipanjangkan ke peringkat akar umbi agar hasil daripada usaha yang telah dilakukan dapat dirasai di semua peringkat secara bersama," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment