Keupayaan Esscom perlu ditambah baik - Shafie Apdal
KOTA TINGGI, SABTU, 10 Mei, 2014: Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) yang diwujudkan untuk menangani isu keselamatan di timur Sabah perlu dikekalkan dan ditambah baik biarpun dilemparkan pelbagai kritikan berikutan kes penculikan warga China Selasa lepas, kata Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga anggota Parlimen Semporna itu berkata, keupayaan Esscom untuk membanteras kegiatan penculikan dan aktiviti jenayah yang lain di pantai Timur Sabah perlu dipertingkatkan.
"Kita berharap Esscom dapat diberi sokongan. Saya kesal kerana benda ini (penculikan) berlaku berulang kali dan saya telah pun berulang kali berkata supaya tindakan tegas dikenakan terhadap anasir ini walaupun mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan negara jiran, itu bukan alasan," katanya hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah Fasa 2 dan Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Fasa 3 di Kampung Tersusun Tuan Sheh, Tanjung Sedili di sini.
Mohd. Shafie yang merasa amat kesal dengan kejadian penculikan warga China, Yang Zailin di Pulau Baik, Lahad Datu 6 Mei lepas berkata demikian ketika mengulas kenyataan beberapa pihak yang mahukan Esscom dibubarkan dan tugasnya diambil alih oleh Majlis Keselamatan Negara. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment