My Add

Friday, 2 May 2014

Mahasiswa tahu bahaya Comango

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI

SEREMBAN, KHAMIS, 01 Mei, 2014: Golongan mahasiswa di beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini mula menyedari akan bahaya serta ancaman tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) yang mampu mengganggu-gugat agama Islam serta Perlembagaan negara.

Ahli Jawatankuasa Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Da­lam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo), Nasharudin Mat Isa berkata, tahap kesedaran itu diterjemahkan menerusi sokongan padu yang diterima oleh beberapa kepimpinan mahasiswa yang mahu tuntutan melampau Comango itu diketepikan.

Malah katanya, daripada segi penerimaan terhadap beberapa program yang dianjurkan MuslimUPRo di tiga buah universiti beberapa hari lalu adalah cukup baik dan kebanyakan mereka datang­nya dari pelbagai latar belakang bidang pengajian.

"Ada kepemimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang datang sendiri berjumpa dengan saya untuk memberikan sokongan terhadap perjuangan ini dan mereka juga akan meneruskan program pe­nerangan yang sama secara berterusan.

"Kita mengalu-alukan sokongan ini dan ruang yang kita sediakan ini adalah secara lisan dan terbuka kepada mereka yang mahu menyertainya sama ada secara tetap dan sebagainya kerana isu yang dibangkitkan adalah melibatkan kepentingan umat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada ‘Bicara Khas Ancaman Comango Terhadap Islam: Dari Geneva Ke Malaysia’ di Dewan Kuliah Pusat 3, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Dele­gasi MuslimUPro ke Geneva, Azril Mohd. Amin dan Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Iktisas (Pragmatis) USIM, Mohd. Salehudin Sukor.

Bagaimanapun kata Nasharudin, peranan masyarakat Islam yang menjadi penyokong tegar dalam perjuangan itu tidak diketepikan malah mereka akan terus diberikan penjelasan tentang bahaya tuntutan Comango.

Dalam pada itu, Azril berkata, pakar dalam bidang perubatan seperti doktor juga dilihat mempunyai peranan penting dalam menerangkan perjuangan songsang Comango berkaitan aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) semasa sesi proses semakan berkala sejagat (UPR) di Geneva bulan lalu.

Katanya, aktiviti lesbian, gay dan biseksual secara saintifiknya merupakan penyakit berhubung psikiatri seseorang dan tidak seharusnya hak itu diperjuangkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment