My Add

Tuesday 27 May 2014

Mediasi kes saman ke atas UMMB 2 Julai

KUALA LUMPUR, ISNIN 26 Mei, 2014: Proses mediasi kes saman fitnah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar terhadap syarikat akhbar Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) berhubung kenyataan beliau mengenai kebebasan beragama akan diadakan di Mahkamah Tinggi di sini pada 2 Julai ini.

Peguam Azhana Mohd. Khairuddin yang mewa­kili Nurul Izzah memberitahu pemberita, mediasi tersebut akan dibuat di hadapan Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Jika proses mediasi itu menemui ke­gagalan, kata­nya, perbica­raan kes akan didengar selama dua hari di hadapan Hakim Datuk Hue Siew Kheng bermula 21 Ogos ini.

Perkara tersebut disah­kan oleh peguam Nor Hazi­ra Abu Haiyan yang mewakili UMMB selepas menghadiri pengurusan kes saman itu di kamar Hakim Siew Kheng, hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memfailkan saman tersebut pada 23 November 2012 kerana mendakwa empat artikel yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia antara 5 dan 7 November tahun yang sama sebagai memfitnah beliau.

Artikel itu disiarkan ekoran kenyataan kontroversi Nurul Izzah sewaktu menjawab soalan seorang ahli Majlis Peguam, Siti Zabedah Kassim dalam satu forum bertajuk Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? di Subang Jaya pada 3 November 2012.

Nurul Izzah selaku pihak plaintif menamakan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan UMMB sebagai defen­dan pertama dan kedua. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment