My Add

Friday 9 May 2014

Mesyuarat khas bincang isu tol Isnin ini

 * FADILLAH Yusof (tiga dari kanan)) melawat kawasan tapak pembinaan Kampus UniKL-MIAT di Subang, Selangor, semalam.
SUBANG, KHAMIS, 08 Mei, 2014: Hasil maklum balas yang diperoleh daripada syarikat konsesi lebuh raya berhubung konsesi tol akan diteliti dalam satu mesyuarat khas melibatkan beberapa kementerian dan agensi kerajaan pada Isnin ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, mesyuarat itu antaranya disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; wakil Unit Kerja Awam Swasta (UKAS) dan Kementerian Kewangan.

"Kita akan membentangkan ha­sil perbincangan dengan syarikat konsesi lebuh raya dalam mesyuarat itu untuk melihat cadangan-cadangan timbal balas daripada mereka," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi penguatkuasaan bersepadu ke tapak projek seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kampus Universiti Kuala Lumpur-Institut Teknologi Juruterbang Malaysia (UniKL-MIAT), di sini hari ini.

Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kadar tol di kesemua 29 lebuh raya tidak akan dinaikkan sehingga hujung tahun ini untuk tidak membebankan rakyat.

Berikutan itu, Kementerian Kerja Raya membuat kajian menyeluruh mengenai konsesi tol dengan semua syarikat konsesi yang melibatkan beberapa kemungkinan termasuk penstrukturan semula kadar tol dan tempoh konsesi serta penambahbaikan terma-terma perjanjian.

Ditanya mengenai perkembangan berhubung tawaran sebuah syarikat swasta yang berminat mengambil alih pemilikan konsesi Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Fadillah berkata, perkara itu bukan di bawah tanggungjawab kementeriannya.

"Perkara itu bukan dibincangkan peringkat kami, kami hanya bertindak sebagai pengawal selia," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan, kerajaan memandang serius terhadap pematuhan peraturan kesihatan dan keselamatan di tapak pembinaan supaya risiko kemalangan di kawasan tersebut dapat dikurangkan selain mewujudkan suasana pekerjaan selamat.

Kata beliau, penggiat industri termasuk badan profesional, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), majikan, kontraktor dan pekerja mesti memainkan peranan masing-masing secara berkesan dengan membudayakan aspek kesihatan serta keselamatan di kawasan pembinaan.

Beliau memberitahu, mengikut siasatan JKKP, sebanyak 164 kes kemalangan dilaporkan berlaku di tapak pembinaan sepanjang tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 69 kes adalah kemalangan maut, hilang keupayaan kekal (12 kes) dan cedera ringan (83 kes) manakala sejumlah empat kes kemalangan direkodkan pada bulan lepas," katanya.

Mengenai operasi penguatkuasaan bersepadu di tapak pembinaan, Fadillah berkata, ia bertujuan meninjau kemungkinan risiko kemalangan kepada pekerja dan orang awam di dalam rantaian pembinaan supaya dapat menghindarkan kemalangan serta kehilangan nyawa akibat kelemahan pengurusan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment