My Add

Tuesday 27 May 2014

NGO saman Cadbury RM100 juta

Oleh Siti Airunnisa Alaui

 * AHMAD Zuhairi Ahmad Pu'aat (duduk, kiri) bersama Azwanddin Hamzah (duduk, kanan) semasa sidang akhbar untuk menyaman syarikat pengeluaran coklat mengandungi DNA babi di Pandan Indah, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, ISNIN26 Mei, 2014: Lebih 80 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam akan memfailkan saman bernilai RM100 juta terhadap syarikat Cadbury Confectionery Malaysia Sdn. Bhd. (Cadbury) ekoran penemuan Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi pada dua produk keluaran syarikat terbabit.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, saman yang akan difailkan Isnin ini turut mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) sebagai mewakili pengguna Islam di negara ini bagi menuntut keadilan terhadap tindakan syarikat berkenaan yang tidak sensitif apabila sengaja menganiaya dan menghina umat Islam di negara ini dengan mencampurkan DNA babi di dalam produk mereka.

Katanya, rentetan itu juga, satu pasukan khas akan ditubuhkan bersama NGO yang terlibat bertujuan mengumpul pengguna Islam yang ingin turut serta menyaman syarikat berkenaan selain menyediakan perkhidmatan guaman secara percuma kepada pengguna.

"Sejak tersebarnya berita ini, kita telah menerima sebanyak 700 e-mel berkaitan kekesalan pengguna terhadap syarikat berkenaan dan kita juga senaraikan kira-kira 50 pengguna yang bersedia bekerjasama di mana mereka masih mempunyai resit pembelian produk tersebut yang merupakan elemen penting bagi memudahkan proses saman dikenakan ke atas syarikat itu.

"Untuk itu, kita berharap lebih ramai lagi pengguna dan NGO tampil dan memfailkan saman terhadap syarikat itu yang jelas tidak sensitif dan menghina umat Islam serta tindakan mereka itu tidak boleh dimaafkan kerana telah sedia maklum tentang kepentingan isu halal dalam agama Islam," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan kelmarin mengesahkan dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) dikesan mengandungi DNA babi (porcine) .

Dalam pada itu Azwanddin berkata, isu berkenaan perlu dipandang serius kerana syarikat tersebut bukan sahaja memandang ringan kepentingan halal umat Islam malah menganiayai umat Islam apabila rata-rata pelanggan dan pekerja di kilang syarikat tersebut merupakan orang Islam.

"Tindakan saman ini bukan soal duit semata-mata tetapi bagi membela pengguna Islam yang teraniaya selain memberi pengajaran kepada syarikat-syarikat lain yang melakukan hal yang sama.

"Ini kerana, kita ada maklumat lebih 60 syarikat yang masih melakukan perkara itu namun kita tidak boleh dedah nama mereka sekarang memandangkan kita mahu mereka mengambil pengajaran daripada kes ini kerana permohonan maaf, penarikan balik produk di pasaran, penarikan sijil halal malah saman RM100 juta tidak memadai dengan apa yang mereka telah buat, Kalau boleh kita mahu mereka tutup kilang," jelasnya.

Beliau turut menyatakan kekesalannya terhadap kemampuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan dalam menjalankan tugas mereka justeru, beliau meminta kedua-duanya memohon maaf kepada pengguna Islam di seluruh negara kerana gagal mengesan DNA babi tersebut lebih awal walaupun produk itu sudah lama berada di pasaran.

Sementara itu, Pengarah Kebangsaan SukaGuam, Ahmad Zuhairi Ahmad Pu'aat berkata, seramai 150 peguam akan bekerjasama berhubung tindakan saman berkenaan bagi membantu pengguna Islam.

"Kita masih meneliti undang-undang apa lagi yang boleh dikenakan ke atas mereka dan setakat ini kita akan ambil tindakan di bawah Akta Pelindungan Pengguna Seksyen 50 serta Undang-undang Tort dan kita yakin 100 peratus kita akan menang dalam kes ini," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment