My Add

Thursday, 8 May 2014

Pekebun harumanis perlu bayar zakat - Mufti

ARAU, RABU, 07 Mei, 2014: Bulan Mei membawa rezeki melimpah ruah kepada pekebun harumanis kerana mempelam kebanggaan negeri ini mendapat permintaan tinggi sehingga harganya boleh mencecah RM25 sekilogram.

Di sebalik rezeki tersebut, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa pekebun harumanis perlu membayar zakat pertanian atau keliru setelah mereka melunaskan pembayaran zakar perniagaan.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, pekebun harumanis perlu membayar zakat pertanian yang dikuatkuasakan kerajaan negeri sejak 1985, sebagai mana hasil tanaman lain seperti padi serta makanan asasi dan bukan asasi yang lain.

"Kaedahnya, jualan harumanis pada kadar minimum 653 kilogram, pengiraannya ialah 10 peratus daripada hasil jualan selepas ditolak kos seperti semburan racun, baja dan upah," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis di Istana Arau di sini hari ini.

Menurut beliau, zakat pertanian untuk harumanis melibatkan hasil tanaman di atas tanah milik sendiri, sewaan atau diusahakan secara kerjasama dengan pihak tertentu.

Bagaimanapun, kata Juanda, sejak harumanis ditanam di Perlis pada 1980-an, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) tidak mempunyai rekod berhubung pembayaran zakat pertanian melibatkan mempelam tersebut.

"Kemungkinan pekebun harumanis membayar zakat perniagaan tetapi kaedah pengiraannya tidak sama dengan zakat pertanian," kata beliau.

Juanda berkata, beliau berharap pekebun harumanis memberi keutamaan untuk membayar zakat pertanian daripada hasil tanaman mereka itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment