My Add

Thursday, 8 May 2014

Perdagangan Malaysia Mac RM120.46 bilion

Oleh NUR HANANI AZMAN

KUALA LUMPUR, RABU, 07 Mei, 2014: Jumlah perdagangan Malaysia pada Mac meningkat 4.6 peratus kepada RM120.46 bilion berbanding bulan sama tahun lalu didorong oleh eksport yang tinggi berbanding import, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kementerian itu berkata, eksport pada Mac berkembang sebanyak 8.4 peratus berbanding tahun lepas kepada RM65.03 bilion dan import meningkat 0.5 peratus kepada RM55.43 bilion berbanding Mac 2013 serta lebihan dagangan meningkat 96.8 peratus kepada RM9.59 bilion pada Mac 2014.

Katanya, jumlah perdagangan lebih tinggi dicatatkan dengan Singapura meningkat RM2.21 bilion, Taiwan (RM1.64 bilion), Australia (RM1.06 bilion), Belanda (RM854.7 juta), Hong Kong (RM391.6 juta) dan New Zealand (RM366.3 juta).

Ujarnya lagi, antara eksport utama ialah produk elektrik dan elektronik bernilai RM20.95 bilion, dengan syer 32.2 peratus daripada jumlah eksport, naik 6.2 peratus berbanding Mac 2013.

"Eksport ke negara-negara ASEAN meningkat 10.9 peratus kepada RM18.47 bilion, merangkumi 28.4 peratus daripada jumlah eksport Malaysia pada Mac 2014.

"Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan eksport keluaran petroleum ditapis, minyak sawit, barangan elektrik dan elektronik, barangan optik dan saintifik serta kimia dan bahan kimia," menurut kementerian dalam kenyataan di sini hari ini.

Secara keseluruhan, kementerian itu berkata, eksport ke Kesatuan Eropah (EU) meningkat 14.1 peratus kepada RM6.04 bilion pada Mac 2014, disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport ke Belanda, Jerman dan United Kingdom.

Sementara itu, menurut MITI, jumlah perdagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mac lalu bernilai RM349.44 bilion, meningkat 8.3 peratus berbanding tempoh sama pada 2013.

Peningkatan ketara dalam perdagangan direkodkan pada tempoh tiga bulan pertama tahun ini dengan China, meningkat 8.7 peratus, ASEAN naik 4.0 peratus, Jepun (6.0 peratus), EU (4.3 peratus) dan Amerika Syarikat (5.1 peratus). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment