My Add

Thursday, 1 May 2014

Senator bangga sikap Obama

 Abdul Rahim
KUALA LUMPUR, RABU, 30 April, 2014: Majlis Senator Malaysia (MSM) melahirkan rasa kesal dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan mempolitikkan lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke negara ini, minggu lalu.

Presidennya, Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, ini termasuk membuat tohmahan kononnya kerajaan menekan dan menghalang Obama daripada bertemu dengan pemimpin pembangkang.

Menurut beliau, tuduhan itu bukan sahaja tidak masuk akal tetapi satu tohmahan liar dan tidak bertanggungjawab.

“Tidak ada sebab kerajaan berbuat demikian kepada tetamunya, apa lagi terhadap pemimpin sebuah negara kuasa besar. Namun MSM berbangga dengan sikap yang ditunjukkan oleh Obama yang menghormati tuan rumah negara yang dikunjunginya.

“Sebagai pemimpin yang pernah menetap di Indonesia serta terdedah kepada budaya timur, MSM percaya beliau sangat memahami tradisi ini, maka dalam kunjungan rasminya, beliau memberi tumpuan ke arah memperkukuhkan hubungan dua hala dengan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di Parlimen hari ini.

Abdul Rahim memberitahu, mustahil bagi pemimpin berjiwa besar seperti Obama me­lakukan perkara yang mencacatkan hubungan dengan negara tuan rumah, sekali gus membuktikan sifatnya sebagai pemimpin berhemah.

“MSM menyifatkan lawatan Obama sebagai satu penghormatan kepada negara dan rakyat Malaysia. Ini membuktikan Malaysia mendapat perhatian oleh Obama dan kerajaan AS.

“"MSM percaya ini disebabkan Malaysia terkenal sebagai negara yang sentiasa mengamalkan sikap dan pendekatan kesederhanaan dalam menjalin hubungan serta menangani pelbagai isu dan konflik dengan negara-negara jiran, serantau dan antarabangsa," jelasnya.

Ujar beliau, MSM juga yakin kunjungan Obama akan meningkatkan lagi hubungan kerjasama dan persefahaman antara kedua-dua negara dan itu jelas dengan termeterainya perjanjian kerjasama bernilai RM6.53 bilion antara firma tempatan dengan AS dalam sektor penerbangan, bioteknologi dan insurans.

Selain itu katanya, MSM berharap Obama akan mendengar pelbagai pandangan yang dikemukakan oleh generasi muda ketika pertemuan dengan peserta Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) serta harapan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad terhadap peranannya dalam membendung penindasan umat Islam di seluruh dunia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment