My Add

Friday, 2 May 2014

Sertai bantah GST dianggap pengkhianat

KUBANG PASU, KHAMIS, 01 Mei, 2014: Penjawat awam yang turut serta dalam perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Kuala Lumpur hari ini, disifatkan sebagai pengkhianat dan tidak layak memegang jawatan dalam sektor awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda berkata, mana-mana penjawat awam yang didapati terlibat dalam perhimpunan itu boleh dikenakan tindakan tatatertib jika ditangkap.

"Mereka bukan sahaja mengkhianati amanah, malah tidak layak dipanggil penjawat awam dan kalau mereka sanggup mencabar kerajaan, maka bersedialah untuk menerima tindakan lanjut.

"Kita ada peraturan yang melarang penjawat awam menyertai perhimpunan haram, kalau diambil tindakan

tatatertib jangan kata mereka dianiaya, mereka yang mencari masalah," katanya selepas menghadiri majlis sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 di Dewan Wawasan, di sini hari ini.

Menurut Azih, dalam kenyataan rasmi CUEPACS dua hari lalu, pihaknya telah menasihatkan penjawat awam agar tidak melibatkan diri dalam mana-mana perhimpunan yang menentang kerajaan.

"Kita sebagai penjawat awam suka atau tidak adalah pekerja di sektor awam. Kita ada akujanji dan ikrar perkhidmatan yang perlu dipatuhi.

"Kepada mereka yang ingin menentang kerajaan ada baiknya mereka berhenti kerja dan bertanding dalam pilihan raya," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa terbuka dan mendengar rintihan serta tuntutan penjawat awam.

"Saya yakin beliau kalau boleh memang hendak berikan apa yang kita minta, namun kita harus faham keperluan kerajaan dan keperluan kita untuk menyeimbangkan tuntutan," jelasnya.

Dalam pada itu, Azih berkata, Perdana Menteri turut meminta penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan mengharapkan bantuan golongan itu untuk menyuntik pendapatan negara bagi menampung kos sara hidup mereka.

"Bagi meningkatkan pendapatan negara, produktiviti daripada semua penjawat awam diperlukan dan bagi mengekalkannya, semua pihak perlu menggembleng tenaga," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment