Spekulasi MB: UMNO Terengganu cadang ambil tindakan
KUALA TERENGGANU, JUMAAT, 09 Mei, 2014: UMNO Terengganu tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak tidak bertanggungjawab yang mencetuskan isu berkaitan kedudukan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar.
Ketua Penerangan UMNO negeri, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, jika tindakan pihak terbabit semakin menjadi-jadi dan melampau, tindakan undang-undang mungkin diambil.
Buat masa ini kita tidak buat apa-apa tindakan, tetapi kita akan pantau dan kalau melampau sangat, tindakan yang bersesuaian mungkin diambil.
Sebagai contoh, kita boleh ambil tindakan saman ke atas mereka," katanya dalam sidang akhbar bagi menjelaskan isu tersebut di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini hari ini.
Abdul Rahman seterusnya berkata, isu tersebut perlu dihentikan sekali gus menyifatkan desas-desus mengenai kedudukan Ahmad itu sebagai palsu semata-mata.
Malah, katanya, perjanjian yang dikatakan dimeterai antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Menteri Besar Terengganu itu juga palsu.
Beliau turut tidak menafikan isu itu sengaja dicetuskan oleh mereka yang bercita-cita tinggi dan desperado setelah kecewa dengan apa yang diinginkan tidak dapat.
Saya tidak nafi wujud golongan desperado yang bercita-cita tinggi yang hendak sesuatu tetapi tidak dapat. Mereka sanggup buat perkara yang boleh menjahanamkan UMNO dan BN," katanya.
Abdul Rahman juga kesal dengan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang menyiarkan berita mengenai spekulasi berdasarkan sumber dan maklumat tidak tepat.
Saya tidak fikir laporan akhbar berkenaan akan menjadi kenyataan kerana Perdana Menteri seorang Pengerusi BN yang amat berhati-hati, beliau tak akan bertindak kalau mendatangkan kemudaratan.
Saya sangat kesal dengan kenyataan ini, sebab kita sudah semak dengan Putrajaya dan UMNO, memang tidak berlaku pertukaran MB seperti didakwa," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment