YGMB sasar miliki hotel, ceburi Ar-Rahnu
KUALA LUMPUR RABU, 14 Mei, 2014: Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) merancang menceburi bidang hospitaliti dengan memiliki hotel sendiri serta menyertai perniagaan pajak gadai Islam Ar-Rahnu tidak lama lagi sebagai suatu bentuk transformasi institusi kebajikan itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mejar (B) Wan Munadi Wan Mamat berkata, ia merupakan pelan perancangan strategik jangka panjang YGMB untuk memperluaskan sektor pelaburannya selain mengekalkan pelaburan sedia ada di Bursa Malaysia di samping memperkukuhkan kedudukan aset-aset hartanah yang dimiliki.
Menurutnya, cabaran yang dipikul YGMB dalam tahun-tahun mendatang ini cukup besar memandangkan 90 peratus daripada hampir 90,000 anggota yayasan itu merupakan Ahli Seumur Hidup yang dikecualikan bayaran yuran bulanan.
Sedangkan komitmen dan tanggungjawab YGMB semakin meningkat dengan dijangka pada tahun ini (2014) sahaja kita bakal memberi sumbangan kira-kira RM2 juta melalui 16 bentuk kebajikan kelolaan kami.
YGMB terpaksa menjana sendiri pendapatan dan perlu berdikari walaupun kami merupakan organisasi kebajikan berkaitan kerajaan," katanya di sini hari ini.
Menurut Wan Munadi, pihaknya turut menjalin kerjasama strategik dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang menawarkan kelulusan segera iaitu 60 minit kepada warga pendidik untuk memohon kad kredit 1Teachers Card BSN.
Kad berkenaan menawarkan caj kewangan tahunan serendah 8.88 peratus berbanding kad kredit lain pada caj sehingga 18 peratus setahun.
Ini juga memberi pulangan besar kepada YGMB untuk dimanfaatkan semula kepada ahli," katanya.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan yang selama ini menyokong YGMB termasuk dalam melaksanakan kursus Penilaian Tahap Kompetensi (PTK) 2005-2010 melibatkan lebih 30,000 guru.
Saya sendiri memikul amanah yang cukup besar untuk melihat komitmen YGMB yang berterusan dalam memperjuangkan kebajikan para guru," kata beliau.
Beliau yang juga merupakan bekas guru mengambil peluang mengucapkan selamat Hari Guru 2014 yang akan disambut Jumaat ini kepada semua warga pendidik.
Sejak ditubuhkan pada 1994, YGMB membelanjakan lebih RM12 juta untuk sumbangan kebajikan ahli YGMB.
Bagi tahun 2012 sahaja, YGMB meluluskan pembayaran sumbangan kebajikan kepada ahli sebanyak RM1.5 juta termasuk RM1 juta berupa sumbangan khairat kematian yang dibayar kepada waris ahli.
Enam belas faedah yang diperkenalkan YGMB meliputi khairat kematian (ahli), khairat kematian (pasangan), khairat kematian (anak), kemalangan, kecacatan kekal (ahli), kecacatan kekal (pasangan), kecacatan kekal (anak), elaun hospital dan bencana.
Yang lain pula meibatkan faedah akibat musibah, insentif pelajaran (ahli), insentif pendidikan (anak), persaraan, mengerjakan haji, kelahiran anak dan perkahwinan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment