My Add

Saturday 1 October 2011

Henti retorik elak kekeliruan - Majlis Peguam

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam menyeru semua pihak untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan menghentikan semua retorik mengenai pelaksanaan Hudud yang boleh menyebabkan kekeliruan dan perpecahan dalam masyarakat.

Presidennya, Lim Chee Wee berkata, hukum Hudud tidak boleh dilaksanakan melalui kerangka Perlembagaan dan perundangan semasa kerana ia bertentangan dengan peruntukan kesamarataan dalam Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

"Hudud akan mengakibatkan kaedah-kaedah prosedur keterangan dan hukuman yang berkaitan dengan kesalahan jenayah yang terpakai kepada orang Islam berbeza berbanding dengan orang bukan Islam.

"Orang Islam juga akan terdedah kepada dua pendakwaan atau sabitan berasingan iaitu di bawah hudud dan di bawah Kanun Keseksaan di mana ia bertentangan dengan Artikel 7 (2) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini semalam.

Beliau juga memberi contoh kes Che Omar Che Soh melawan Pendakwa Awam (1988) dengan Mahkamah Agung ketika itu memutuskan bahawa undang-undang di Malaysia tidak perlu mematuhi prinsip-prinsip Islam dan ia mengesahkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Chee Wee juga berkata, kuasa yang ada pada Mahkamah Syariah juga adalah terbatas mengikut Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

"Akta ini memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah di semua negeri tidak boleh menjalankan bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh menghukum pesalah dengan penjara melebihi tempoh tiga tahun atau melebihi RM5,000 atau melebihi enam sebatan atau dengan mana-mana kombinasi daripadanya.

"Oleh itu bidang kuasa yang ada pada Mahkamah Syariah jelas terbatas dan tidak termasuk hukuman yang diperuntukkan di bawah hudud," jelasnya.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang yang melibatkan kesalahan keluar daripada agama Islam, yang bertentangan dengan prinsip Islam dan hukuman yang berkaitan.

Bagaimanapun ujarnya, setiap undang-undang yang hendak digubal mestilah selari dengan hak asasi manusia yang menjamin semua warganegara termasuk orang Islam selaras dengan bahagian II Perlembagaan Persekutuan. - Utusan

No comments:

Post a Comment