PASIR MAS: Rakyat diingat supaya tidak mudah terperangkap dengan isu pelaksanaan hukum Hudud yang dibangkitkan semula oleh Pas sejak dua minggu lalu kerana ia gimik parti politik pembangkang setiap kali menjelang pilihan raya.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, isu Hudud dibangkitkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu hanya mengalih pandangan rakyat terhadap beberapa isu yang tidak dapat diselesaikan sehingga hari ini.
Beliau berkata, Perkasa tidak pernah menolak hukum Islam, sebaliknya menerima pelaksanaan hudud apabila masanya benar-benar sesuai.
"Seperti air, pengangguran, ekonomi termasuk peningkatan kes jenayah. Isu-isu ini semua menjadi ketakutan kerajaan Pas Kelantan, maka mereka patut tutup isu tersebut dengan Hudud.
"Kerana bermain sentimen agama, orang akan lupa segala kepentingan dunia. Maknanya tidak ada air, tidak mengapa, kerana Islam itu lebih penting. Sedangkan pengertian Islam itu sendiri lebih luas," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meraikan 170 bakal jemaah haji dari kawasan Parlimen Pasir Mas yang akan menunaikan ibadah itu di Tanah Suci Mekah pada tahun ini.
Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menyifatkan melayan gimik politik pilihan raya pembangkang hanya merugikan masa.
"Orang ramai boleh perhati, Hudud muncul setiap kali menjelang pilihan raya, selepas pilihan raya senyap.
"Hendak buat apa-apa mesti ikhlas. Jangan buat kerana hendak meraih undi atau bersifat emosi, kononnya parti politik ini memperjuangkan Islam," katanya.
Mengulas pertelingkahan antara Pas dan DAP dalam isu Hudud dan pelaksanaan negara Islam, beliau berkata, ia membuktikan kerjasama parti pembangkang tidak kukuh.
"Ini merupakan gambaran awal pakatan rakyat tidak mampu mewujudkan kerajaan yang kuat, yang boleh menjamin kestabilan politik negara jika dapat memerintah negara sekalipun," katanya. - Utusan
No comments:
Post a Comment