My Add

Thursday 6 October 2011

125 bebas Perintah Kediaman Terhad



Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembebasan 125 individu yang ditahan di bawah Perintah Kediaman Terhad serta merta ekoran pemansuhan Akta Perintah Kediaman Terhad 1933 (Akta 377) yang kini dibentangkan di Dewan Rakyat.

Serentak dengan itu Perdana Menteri turut mengumumkan pembatalan serta merta lebih 200 waran yang belum diserahkan kepada individu terlibat.

"Saya berdiri di Dewan yang mulia pada hari ini bagi memulakan proses mengotakan janji kerajaan. Hakikatnya, amat jarang di dunia bagi sebuah kerajaan yang sedang berkuasa untuk secara sukarela memudarkan kuasa yang dimiliki.

"Kerajaan ini insaf bahawa amanah untuk mengurus tadbir negara tercinta perlu diasaskan kepada kerelaan serta kepercayaan rakyat terbanyak dan bukannya atas dasar kuasa yang mampu menggusarkan," kata Perdana Menteri ketika membentangkan akta itu di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua semalam.

Hakikatnya, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak mengimpi pada suatu kuasa yang mutlak atau sekalipun tampak mutlak kerana ia bertentangan dengan citra hidup demokratik

"Sesungguhnya kuasa, adalah satu amanah, bukannya satu keistimewaan," katanya.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, keputusan kerajaan memansuhkan akta itu adalah disebabkan ia sudah lapuk, ditelan zaman dan tidak lagi relevan dengan keadaan semasa berlandaskan kepada dua faktor utama.

Faktor pertama katanya, prinsip demokrasi dan keadilan iaitu Malaysia merupakan negara yang mengamalkan sistem demokrasi semenjak mencapai kemerdekaan dengan berasaskan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

"(Oleh itu) Sejajar dengan kemajuan dan pembangunan sosioekonomi yang telah berlaku hasil daripada perancangan rapi serta pelaksanaan berkesan kerajaan semenjak lebih lima dekad lalu maka sudah tiba masanya untuk kita akur dengan landskap sosiopolitik dan sosioekonomi yang telah berubah.

"Kontemporari menuntut kita untuk mengkaji semula undang-undang serta amalan yang tidak selaras dengan prinsip asas demokrasi dan keadilan," ujarnya.

Apa yang jelas beliau berkata, tindakan terhadap pelaku jenayah hendaklah diambil di bawah undang-undang sedia ada dengan mematuhi prinsip bahawa sebarang hukuman perlu berdasarkan sabitan oleh mahkamah selepas mengambil kira segala bukti, sesuai dengan prinsip universal.

"Di samping itu, ia juga seiring dengan semangat maqasid syariah dan prinsip usul fiqh "bahawa perkara yang yakin itu tidak akan diselindungi yang syak". Di sudut lain, maxim perundangancommon law menyebut "It is better that ten guilty men go free than that one innocent men to be convicted."," ujarnya.

Najib berkata, faktor kedua yang diambil kira dalam pemansuhan akta tersebut ialah kemajuan teknologi dan maklumat.

"Sebagai contohnya, jika dahulu, individu menjalani perintah kediaman terhad diasingkan dan dipindahkan ke kawasan terpencil. Hari ini, dengan kemajuan prasarana fizikal, sistem pengangkutan dan proses urbanisasi, hampir dua pertiga

"Malaysia sudah menjadi kawasan bandar. Sebahagian besar ceruk dan pelosok negara sudah boleh dihubungi," ujarnya.

Perdana Menteri ketika membentangkan rang undang-undang tersebut turut menyelar pihak pembangkang apabila mereka mendakwa keputusan kerajaan itu adalah hasil daripada cadangan daripada mereka.

"Walhal, tiada siapa pun yang mempengaruhi kita, tiada siapa pun yang mendesak kita. Kerajaan membuat keputusan atas kehendak dan fikrah sendiri dengan memulakan proses islah dan penambahbaikkan.

"Ujiannya, sama ada kita mengotakan janji atau tidak, pihak lain boleh saja tanpa segan silu atau semberono mengaku bahawa ini adalah idea atau pandangan mereka. Sedangkan mereka bukanlah kerajaan yang diberi mandat oleh majoriti rakyat untuk menunaikan apa yang dijanjikan," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment