My Add

Thursday 6 October 2011

Mansuh Akta Buang Negeri 1959 kerana tidak relevan

KUALA LUMPUR; Pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 adalah wajar kerana ia tidak lagi relevan untuk dilaksanakan pada masa sekarang apatah lagi akta tersebut tidak lagi digunakan sejak 34 tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, selain itu pemansuhan itu juga akan memperkemaskan lagi sistem perundangan negara apabila peruntukan penahanan dan pemulangan warga asing yang termaktub di dalam akta berkenaan turut terdapat di dalam Akta Imigresen 1959/63.

Pemansuhan itu kata Najib, turut disifatkan sebagai aspirasi kerajaan ke arah pentadbiran berasaskan sistem perundangan yang lebih adil dengan mendukung prinsip-prinsip di bawah Perlembagaan Persekutuan.

''Seperti yang ramai maklum, Akta Buang Negeri 1959 telah tidak digunakan sejak 34 tahun yang lalu. Dengan merujuk rekod yang ada kali terakhir ia digunakan ialah pada tahun 1977 di dalam kes Menteri Dalam Negeri lawan Chu Choon Yong dan Anor.

''Ternyata selepas daripada kes tersebut dan sehingga kini akta ini tidak pernah digunakan lagi. Bertolak dari situ juga, semua kes penahanan warganegara asing kini dikendalikan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 1955) walaupun peruntukan sama turut terkandung dalam Akta Buang Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Buang Negeri (Pemansuhan) 2011 untuk bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, di dalam Akta Imigresen 1959/63, ia mempunyai peruntukan untuk memindahkan seseorang yang bukan warganegara sebagaimana terkandung di bawah Akta Buang Negeri melalui peruntukan subseksyen 33(1), 32 dan subseksyen 56(2).

''Di dalam subseksyen 33(1) Akta Buang Negeri ada memperuntukkan tentang pemindahan orang yang berada di Malaysia secara tidak sah, seksyen 32 memperuntukkan tentang pemindahan pendatang tanpa izin daripada Malaysia.

''Subseksyen 56(2) pula memperuntukkan tentang kesalahan-kesalahan di mana seorang yang bukan warganegara secara menyalahi undang-undang cuba memasuki semula ke Malaysia.

''Maka pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 adalah wajar oleh sebab ia tidak lagi relevan di samping dapat memperkemaskan lagi sistem perundangan negara," katanya.

Dalam pada itu Najib berkata, meskipun Akta Buang Negeri dimansuhkan, masih terdapat mekanisme perundangan lain yang berupaya menangani perkara-perkara yang dihasrat dilindungi di bawah akta berkenaan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

''Kerajaan akan terus memastikan bahawa keselamatan negara serta ketenteraman, keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara terus dikekalkan,'' ujarnya.

Najib berkata, rang undang-undang pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 yang dibentangkan hari ini tidak akan menjejaskan apa-apa waran, perintah, arahan atau surat cara lain yang dibuat atau dikeluarkan oleh Menteri sebelum tarikh permulaan kuat kuasanya.

''Pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 itu juga tidak akan melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan," kata Perdana Menteri. - Utusan

No comments:

Post a Comment