My Add

Saturday 8 October 2011

62,000 bekas polis darurat dihargai

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

SABTU, 08 Oktober 2011: Di sebalik tindakan pembangkang memperlekeh jasa pejuang negara, kerajaan hari ini mengumumkan pemberian sumbangan RM3,000 kepada setiap bekas anggota polis khas, polis tambahan, duda dan balu mereka yang semuanya berjumlah 62,000 orang.

Mereka terdiri daripada bekas anggota yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara ketika darurat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemberian sumbangan itu bertujuan mengenang jasa bakti pejuang-pejuang negara yang sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan kedaulatan Malaysia.

Katanya, sumbangan tersebut juga bukti keluhuran hati kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menghargai jasa pejuang negara, bukan seperti sesetengah pihak yang sanggup memperlekeh jasa bakti mereka.

"BN adalah kerajaan yang mengenang budi. Kita tidak akan membiarkan wirawan dan wirawati negara tanpa pembelaan yang sewajarnya. Kita tidak sekali-kali seperti sesetengah pihak yang memperlekeh jasa mereka.

"Sesungguhnya keringat dan air mata mereka serta keluarga yang membasahi bumi bertuah ini akan terus malar dan segar dalam sanubari setiap rakyat Malaysia," katanya.

Najib berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2012 yang bertema 'Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara' di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri sekali lagi mengingatkan semua pihak agar insaf bahawa harga keamanan dan kemakmuran yang dinikmati sejak merdeka bukannya diperoleh secara percuma.

Jelasnya, ia dibayar oleh mereka yang menyarung seragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaku benteng pertahanan utama negara dan sudah semestinya jasa para perajurit berkenaan perlu dikenang.

Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM500 juta di bawah program Army Care untuk menaik taraf dan menyelenggara kem serta kuarters tentera di seluruh negara. - Utusan

No comments:

Post a Comment