My Add

Saturday 22 October 2011

Amah kena ikuti latihan sebulan

Raja Zulkepley Dahalan         
Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Nurhasyima Hasim

Berita Harian
SABTU, 22 OKTOBER, 2011: Pembantu rumah Indonesia yang akan dihantar ke Malaysia mulai 1 Disember depan akan diwajibkan menjalani latihan 30 hari di pusat bertauliah di negara itu.

Satu pasukan membabitkan pegawai agensi kerajaan dan Kedutaan Besar Malaysia di republik itu akan memantau rapi latihan itu.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (PIKAP), Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata langkah penambahbaikan bagi menjamin kualiti pembantu rumah berkenaan hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara pada Mei lalu.

Sebelum ini, pembantu rumah itu hanya menjalani latihan dua hingga tiga minggu sebelum dibawa masuk ke Malaysia dan sesetengahnya dilakukan `sekadar melepaskan batuk di tangga’.

“Kini, pembantu rumah Indonesia mesti mengikuti latihan selama 30 hari di bawah jurulatih bertauliah dan berkemahiran yang dijalankan agensi merekrut berdaftar menggunakan silibus disediakan Jabatan Tenaga Kerja Indonesia.

“Antara penekanan yang diberi ialah memahami budaya masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, peraturan dan undang-undang di Malaysia, perkara yang dibenarkan dan dilarang, persediaan mental, selain latihan berkaitan kemahiran diperlukan sebagai pembantu rumah seperti memasak dan mengemas. 

“Bagaimanapun majikan di Malaysia tetap perlu memberi peluang kepada mereka menyesuaikan diri pada peringkat awal dan membantu tunjuk ajar dari semasa ke semasa. 

“Bagilah mereka bekerja tanpa diseksa dengan pelbagai arahan yang mengelirukan daripada setiap ahli keluarga berlainan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di Kemboja, semalam.

Pembantu rumah Indonesia dibenarkan bekerja semula di Malaysia mulai 1 Disember depan selepas lebih dua tahun dibekukan berikutan penyelesaian semua masalah dan isu hasil Perundingan Tahunan Ke-8 antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, di Lombok, kelmarin. 

Di Melaka Tengah, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, segala isu dan mekanisme membabitkan proses pengambilan pembantu rumah itu akan dimuktamadkan pada perbincangan peringkat akhir antara kedua-dua pemimpin negara pada 18 dan 19 November ini.

"Semua proses itu sudah diperhalusi pegawai kedua-dua negara melalui perbincangan sebelum ini dan akan disampaikan dalam pertemuan berkenaan," katanya selepas majlis penyampaian bantuan dan jamuan Deepavali bersama pemimpin anjuran MIC Kota Melaka, petang semalam.

Subramaniam berkata, MoU yang dimeterai Mei lalu, kedua-dua pihak bersetuju menetapkan kadar gaji mengikut pasaran selain pemberian cuti rehat.

Selain itu, menerusi perjanjian itu juga majikan perlu memberikan bayaran ganti rugi kepada pembantu rumah yang dipanggil bekerja pada hari cuti rehat.

"Penetapan kadar gaji ini mesti munasabah melalui perbincangan antara peringkat agensi pembekal amah di Indonesia dengan agensi yang menerima pekerja terbabit di negara ini," katanya.

Mengenai hak menyimpan pasport pekerja, Subramaniam berkata, pekerja dibenarkan memegang pasport masing-masing selaras dengan sistem perundangan kedua-dua negara dan seperti yang dipersetujui di dalam MoU kedua-dua negara.

No comments:

Post a Comment