JUMAAT, 21 Oktober, 2011: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, berasa terganggu dan sedih dengan tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menggantung pensyarah Fakulti Undang-Undangnya, Prof Dr Abdul Aziz Bari.
Mengulas melalui laman Twitternya, Saifudin (gambar) berkata beliau telah mengarahkan UIA memberi laporan bertulis kepada beliau.
"Saya terganggu dan sedih. Saya sudah meminta UIA memberikan laporan bertulis," katanya.
Menurut Harakahdaily, sementara itu, sekumpulan mahasiswa yang tidak berpuas hati dengan tindakan UIA terhadap Aziz Bari akan mengadakan demonstrasi hari ini.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Syukri Abdul Razab yang dipetik FMT berkata, demonstrasi itu diadakan di hadapan pintu masuk utama UIA pada pukul 9 pagi ini, selain bercadang menghantar memorandum kepada Rektor UIA, Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin menggesa agar penggantungan itu ditarik semula.
Selain SMM, demonstrasi itu akan turut disertai kumpulan mahasiswa lain termasuk Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiwa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Pro-Mahasiswa (Pro-M), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA), serta Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya.
Sementara itu, dua laman peminat Facebook dilancar bagi membantah tindakan terhadap Aziz Bari yang juga Pakar Perlembagaan itu.
Facebook "Kami Bantah Penggantungan Dr Aziz Bari" dan “10,000 mahasiswa menyokong penuh Profesor Dr Abdul Aziz Bari” setakat petang ini sudah mempunyai lebih 2,000 peminat.
No comments:
Post a Comment