My Add

Tuesday 11 October 2011

Badan agama perlu bebas politik - Raja Nazrin Shah

Utusan Malaysia

SELASA, 11 Oktober, 2011: Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mahu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMPk) memiliki autonomi tertentu dan bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian bagi mengupayakan fungsinya secara berkesan.

Titah baginda, Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) pula perlu memahami secara jelas maksud dan keperluan penubuhannya yang berbeza dengan jabatan kerajaan lain dengan melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan MAIKAMPk dan berfungsi kepada Paduka Seri Sultan.

''Enakmen yang sedia ada perlu dikaji dan jika perlu hendaklah diperkemas dan dipinda supaya dapat mengupayakan MAIKAMPk berfungsi dengan lebih berkesan.

''Kegiatan membangunkan ekonomi ummah secara lestari hendaklah diberi keutamaan. Ia menuntut penelitian semula corak program yang dilaksanakan oleh MAIKAMPk dan JAIP terutama kegiatan ekonomi, peranan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Perak, zakat, Baitulmal dan pengurusan dana," titah baginda.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIAMPk bertitah demikian ketika merasmikan persidangan kali ke-177 majlis tersebut di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di Ipoh, semalam.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Pada majlis tersebut, baginda berkenan menyampaikan watikah kepada Pegawai Kewangan Negeri yang baru, Datuk Mohd. Ghazali Jalal yang diperkenan menganggotai MAIAMPk bagi menggantikan Datuk Jamaluddin Al-Amini Ahmad yang bersara wajib.

No comments:

Post a Comment