My Add

Saturday 8 October 2011

Bajet paling istimewa sepanjang 33 tahun dalam Parlimen

SABTU,08 Oktober, 2011: Bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu menyifatkan Bajet 2012 sebagai strategi belanjawan yang lebih mengutamakan kepentingan rakyat pelbagai kaum dari segala-galanya. 

Beliau berkata, bajet yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam adalah satu tranformasi dalam negara kerana memfokuskan kepada kepentingan dan kebajikan rakyat di samping memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Tidak ada bajet lagi seperti ini yang pernah saya lihat sepanjang saya berada dalam Parlimen selama 33 tahun. Belanjawan kali ini sebenar-benarnya mengambil kira luahan rakyat sebagai perkara yang lebih penting daripada apa-apa perkara," katanya.

Samy Vellu, yang juga Canselor Universiti AIMST berkata kepada pemberita demikian selepas majlis konvokesyen keempat Universiti Asian Institute of Medcine, Science and Technology (AIMST) di Bedong, dekat Sungai Petanii, hari ini. 

Bekas Menteri Kerja Raya itu berkata, kandungan dalam bajet berkenaan menunjukkan bahawa Perdana Menteri adalah seorang pemimpin yang prihatin dan membela nasib semua lapisan masyarakat. 

Justeru itu, Samy Vellu berkata, beliau mengharapkan rakyat akan terus memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Najib memandangkan segala permasalahan rakyat diatasi sebaik mungkin. 

"Najib sering kali mendengar segala masalah rakyat dan cuba memberi perhatian terhadap hal itu yang kemudiannya disusuli dengan tindakan-tindakan daripada kerajaan. 

"Atas perkara ini saya percaya hari ini masyarakat India lebih seronok dengan kepimpinan beliau sebab beberapa kemahuan telah ditunaikan," kata Samy, yang kini menjadi Duta Khas (Infrastruktur) ke India dan Asia Selatan. 

Katanya, beliau yakin bahawa Najib yang dilabel sebagai pemimpin rakyat akan mampu meraih sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat berdasarkan prestasi yang ditunjukkan sepanjang mentadbir negara ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment