My Add

Saturday 22 October 2011

Bina kekuatan ekonomi ASEAN

 

NAJIB Tun Razak (tengah) bersama Perdana Menteri China Wen Jiabao (lima kanan) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian China-Malaysia Qinzhou Industrial Park diwakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan Menteri Perdagangan China, Chen Deming (kanan) di Li Yuan Resort, Nanning, China, semalam. – BERNAMA


Utusan Malaysia

SABTU, 22 Oktober, 2011: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengajak negara-negara rantau ini terutama ASEAN agar tidak lagi terlalu hanya melihat kepada Eropah dan Amerika Syarikat sebagai sumber perdagangan utama.


Sebaliknya, beliau menyarankan agar negara ASEAN terutamanya bergerak membina kekuatan dalam rantau itu sendiri sebagai sebahagian daripada cara menangani kemelut ekonomi global masa kini.


‘‘Kita perlu maklum mengenai cabaran ekonomi yang dihadapi oleh Eropah dan Amerika Syarikat ketika ini dan kita di rantau ini sedang menghadapi kesan daripadanya.


‘‘Eksport kita dijangka suram untuk tempoh mendatang. Jadi sebagai usaha menanganinya, kita perlu mencari sumber-sumber alternatif lain bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kita sendiri.


‘‘Jika kita sukar untuk meningkatkan lagi perdagangan dengan Barat ketika ini, kita sepatutnya mempertingkatkan perdagangan dan perniagaan antara sesama sendiri di rantau ini,” katanya ketika berucap pada perasmian Ekspo China-ASEAN 2011 kelapan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri China, Wen Jiabao di Pusat Pameran Antarabangsa Nanning (NICEC), semalam.


Turut menyertai Perdana Menteri lebih 100 syarikat dari Malaysia bagi meneruskan hubungan dagang sedia ada selain meneroka peluang-peluang baharu dengan China. 


Pada persidangan kali ini, Malaysia dipilih sebagai negara yang diberi penghormatan untuk mewakili ASEAN pada ekspo tahunan itu.


Nanning dalam wilayah Guangxi yang berkepadatan lebih 40 juta orang telah dipilih sebagai lokasi tetap ekspo kerana kedudukannya yang hampir dengan negara ASEAN.


Ia bagi memudahkan negara ASEAN meneroka peluang-peluang perniagaan dan perdagangan dengan wilayah-wilayah lain dalam negara China.


Menurut Perdana Menteri, di sebalik masalah ekonomi yang dihadapi oleh Barat ketika ini, perdagangan antara China dan ASEAN telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan berbanding 20 tahun lalu dengan nilai AS$8 bilion pada 1991 telah melonjak kepada AS$231.2 bilion tahun lepas.


Katanya, pada ketika ini nilai dagangan China dan negara ASEAN mencatatkan angka 11 peratus menjadikan negara itu rakan dagang terbesar ASEAN.


‘‘Bagaimanapun, masih ada ruang lagi untuk meningkatkan nilai dagangan rantau ini dengan China ketika ini dan pada masa akan datang. Justeru saya mengalu-alukan sasaran China untuk meningkatkan nilai dagang dua hala kepada AS$500 bilion menjelang 2015.


Najib bagaimanapun tidak menolak bahawa bukan mudah untuk mencapai sasaran tersebut melainkan melalui kerjasama yang berkesan dan kerja kuat antara rantau ini dengan China terutama dalam memenuhi kehendak pasaran dan perkhidmatan.


Mengenai ekspo kali ini yang bertemakan Kerjasama Melindungi Alam Sekitar, Perdana Menteri menegaskan pentingnya mempromosikan penggunaan teknologi yang lebih bersih dan mengurangkan pencemaran dalam membangunkan ekonomi.


‘‘Ini selaras dengan persetujuan yang dicapai pada Mesyuarat ASEAN-China ke-11 pada 2007 dengan pemuliharaan alam sekitar antara senarai penting di sebalik kerjasama yang dijalinkan.


‘‘Antaranya melalui persetujuan pelaksanaan pelan hijau ASEAN-China yang menekankan kepentingan teknologi mesra alam dan pelabelan produk mesra alam,” ujarnya.


Begitupun, bukan mudah memenuhi misi tersebut melainkan melalui kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat dunia selain mempromosikan pendidikan serta penggunaan teknologi mesra alam.


Hanya dengan cara ini sahajalah, tambahnya lagi, dunia dapat menjamin generasi kini dan akan datang menikmati sumber makanan dan minuman yang selamat.


Sementara itu, selain memenuhi program yang padat sepanjang hari ini bersama Jiabao, Najib juga menyaksikan acara menandatangani perjanjian antara syarikat-syarikat Malaysia dan China bagi melaksanakan pelbagai projek kerjasama bernilai beberapa bilion ringgit Malaysia.


Antaranya membabitkan projek kerjasama pertukaran perjanjian perkhidmatan kitar semula buangan pepejal, projek menaik taraf Lapangan Terbang Lingling, Yongzhou, pembangunan kawasan perdagangan bebas hijau Yongzhou-ASEAN-Malaysia Eco-City, projek tenaga angin dan solar, pembelian 200 unit bas untuk Perak Transit dan kerjasama R&D/komponen membabitkan Proton dan Hawtai Motor Group. 

No comments:

Post a Comment