My Add

Saturday 22 October 2011

Taman Perindustrian Qingzhu ikon hubungan Malaysia-China

Utusan Maalaysia
SABTU, 22 Oktober, 2011: Malaysia dan China bersetuju untuk membangunkan projek Taman Perindustrian Qingzhu dalam wilayah Guangxi yang melambangkan ikon hubungan erat kedua-dua negara dalam perniagaan dan perdagangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kawasan seluas lebih 55 kilometer persegi itu membolehkan syarikat Malaysia membina tapak lebih kukuh dalam meneroka pasaran yang lebih luas di negara itu.

''Kita dah senaraikan syarikat-syarikat Malaysia yang berpotensi untuk ambil bahagian di taman tersebut dan rundingan mengenainya telah pun bermula. Syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) yang berpotensi juga boleh turut serta.

''Setakat ini, kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk melantik Kumpulan Rimbunan Hijau mengetuai misi menarik syarikat-syarikat dari Malaysia beroperasi di kawasan itu.

''Jika projek ini dapat dilaksanakan, ia bakal membuktikan kemampuan Malaysia dalam melaksanakan misi perdagangan dan perniagaannya di peringkat antarabangsa dan di China khususnya dalam pelbagai bidang yang akan dikenal pasti kelak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kawasan Perindustrian China (Qinzhou) bersama rakan sejawatannya dari China, Wen Jiabao.

Najib mengadakan lawatan kerja dua hari ke Nanning yang berakhir semalam atas jemputan Jiabao apabila Malaysia diundang menjadi Negara Kehormat Ekspo China-Asean (CAEXPO) 2011 di sini tahun ini.

Perdana Menteri berkata, projek itu adalah strategik kerana kawasan itu amat berhampiran dengan negara ASEAN dan pelabuhan Hainan yang merupakan pusat pelaburan berpotensi besar di China.

Selain itu, sebagai sokongan tambahan untuk memupuk perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan China, yang termasuk projek Taman Perindustrian Qinzhou, Najib juga mengumumkan pelantikan Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China, Tan Sri Ong Ka Ting sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke China.

Taman Perindustrian Qinzhou, yang mempunyai keluasan 55 kilometer persegi itu, akan dibangunkan dalam tiga fasa dan akan mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan.

Fasa pertama, seluas 15 kilometer persegi akan siap dalam masa lima tahun. Sebuah bandar raya pelabuhan dekat kawasan itu telah siap pada 2009.

Projek itu dicadangkan oleh kerajaan China ketika pertemuan Najib dengan Wen di Kuala Lumpur pada April lepas.

Sementara itu, Malaysia dan China juga telah bersetuju untuk menyelesaikan isu sekatan ke atas pengeksportan produk sarang burung walet ke negara itu yang kini menjejaskan pendapatan puluhan ribu pengusaha bahan itu di Malaysia.

Najib berkata, beliau telah bertemu dengan rakan sejawatannya, Wen Jiabao hari ini bagi menyuarakan masalah yang dihadapi oleh pengusaha di Malaysia ekoran sekatan itu.

''Kita melihat jika sekatan ini diteruskan ia bakal menjejaskan kehidupan lebih 50,000 pengusaha sarang burung walet yang banyak antaranya terdiri daripada masyarakat luar bandar dan bumiputera," katanya. 

''Malaysia gembira kerana Jiabao maklum dan bersetuju betapa pentingnya perusahaan itu kepada rakyat Malaysia dan bersetuju agar perbincangan dapat dilaksanakan secepat mungkin agar sekatan itu dapat ditamatkan," katanya.

Sekatan tersebut dilaksanakan ekoran dakwaan produk sarang burung walet dari Malaysia didakwa mengandungi paras nitrat yang tinggi yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

No comments:

Post a Comment