Muhyiddin Yasin |
Bernama
ISNIN, 17 Oktober, 2011: Barisan Nasional (BN) tidak akan mengorbankan prinsip asas perkongsian kuasa dan keadilan dalam usaha untuk mencapai kata sepakat di dalam isu pengagihan kerusi pada pilihan raya umum (PRU) ke-13, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, apa yang penting di dalam formula pengagihan kerusi di kalangan parti komponen BN adalah kemampuan parti pemerintah untuk mengekalkan kuasa pada PRU akan datang.
"Asas perkongsian kuasa dan keadilan di dalam pembahagian itu (kerusi di antara parti komponen BN), tidak akan kita korbankan,” katanya kepada pemberita selepas majlis khas kesejahteraan rakyat kawasan Parlimen Pagoh di Kampung Paya Panjang. Muar, hari ini.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, beliau terlibat di dalam perbincangan tentang pengagihan kerusi itu sebagai pengerusi jawatankuasa pengurusan BN dan Timbalan Pengerusi BN.
Beliau berkata formula baru pengagihan kerusi di antara parti komponen BN perlu mengambil kira cabaran-cabaran ekosistem dan landskap politik terkini negara membabitkan pelbagai isu.
“BN mesti mendapat sokongan daripada rakyat dan perlu sedar tentang cabaran-cabaran landskap politik yang sudah berbeza, harapan rakyat yang semuanya sudah jauh berbeza, ianya perlu diambil kira,” katanya.
Formula lama pengagihan kerusi di antara BN, menurutnya telah ”memenuhi tujuannya” dan kini formula baru perlu dirumus dengan mengambil kira persekitaran politik terkini dalam negara.
Katanya, juga penting dalam isu pengagihan kerusi itu adalah faktor “menang-menang” di antara parti komponen BN.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pada peringkat ini semua parti komponen BN boleh membuat penilaian masing-masing termasuk berkenaan “calon boleh menang” sebagaimana yang diminta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Agihan kerusi perlu ikut keadaan semasa, selera pengundi
Di SHAH ALAM, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pengagihan kerusi Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum perlu dibuat mengikut kaedah baru, selain sensitif terhadap kehendak rakyat.
"Kita tidak harus berpaut kepada pendekatan lama, contohnya kerusi ini asalnya kita punya, maka kitalah harus menerimanya. Ini kerana kita berdepan dengan keadaan yang berubah.
"Apa yang penting ialah bagaimana untuk menang pilihan raya akan datang,” kata Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, kepada pemberita selepas menutup Ihtifal Kesenian Islam Kemas Kebangsaan 2011, hari ini.
Beliau berkata penapisan calon BN perlu dilakukan sebaik mungkin bagi memastikan tidak berbangkit sebarang persoalan apabila nama calon diumumkan.
Katanya, setiap calon perlu disokong dan diterima semua pihak termasuk parti komponen BN selain pengundi yang mungkin tidak menyertai mana-mana parti.
Mohd Shafie berkata sikap tolak ansur perlu ada di kalangan pucuk pimpinan parti komponen BN dalam menentukan calon boleh menang pada pilihan raya akan datang.
No comments:
Post a Comment