My Add

Tuesday 18 October 2011

Calon ikut majoriti pengundi

Komponen BN mesti terima sesiapa saja dipilih tanding dalam PRU-13 

Oleh Nazura Ngah, Shaarani Ismail, Rafidah Mat Ruzki dan Poliana Ronnie Sidom

Berita Harian
SELASA, 18 Okober, 2011: Penganalisis politik yakin pengagihan kerusi dalam kalangan komponen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan menyaksikan perubahan dengan calon dijadikan asas pemilihan dan bukan lagi parti.

Prof Madya Dr Sivamurugam berkata, mungkin ada desakan supaya MIC, GERAKAN dan MCA mengurangkan jumlah kerusi diminta, tetapi perlu ada timbal balik supaya ia mewujudkan keadaan menang-menang kepada semua.

“Mungkin kerusi Parlimen sesuatu parti komponen dikurangkan, tetapi kerusi DUN ditambah atau sebaliknya. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada Mesyuarat Majlis Tertinggi BN sama ada mereka bersedia atau sebaliknya. 

“Apapun BN perlu melihat kekuatannya berdasarkan angka dan bukan perkauman berasaskan komposisi kaum seperti sebelum ini. Pada masa sama ia juga perlu mengambil kira rasional dan moral dalam memastikan semua pihak dapat menerima keputusan yang dibuat,” katanya. 

Prof Dr Samsul Adabi Mamat berpendapat BN akan mengguna pakai formula sedia ada berdasarkan semangat kesepakatan agihan kerusi antara parti komponennya, tetapi dengan memperketatkan penilaian calon. 

Ia termasuk meletakkan calon UMNO di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang majoriti pengundi Melayu melebihi 60 peratus dan mengambil kira peratusan undi atas pagar dan pengundi bukan Melayu yang menyokong BN. 

“Bagaimanapun, keputusan itu masih tertakluk kepada syarat yang ditentukan pucuk pimpinan iaitu ‘calon boleh menang’ dan disenangi pengundi. 

“Calon dari parti komponen lain boleh diletakkan jika berkelayakan dan diterima pengundi, malah lebih menonjol dan disenangi pengundi berbanding calon parti yang majoriti. 

“Pastinya, calon diletakkan boleh diterima, dikenali dan dekat dengan rakyat, pengagihan kerusi boleh dilakukan seperti sebelum ini cuma penilaian terhadap calon yang menjadi pertaruhan. 

“Yang penting BN memperkukuhkan pemahaman bahawa setiap komponen perlu menerima siapa saja yang diletakkan bertanding atas semangat BN sebelum pilihan raya bermula dan bukan ketika pilihan raya. 

“Jika tidak, budaya ‘cah keting’ atau sabotaj pada hari pilihan raya mungkin berlaku,” katanya.

Di SHAH ALAM, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata komponen BN perlu mengetepikan corak lama pemilihan calon mengikut tradisi kerusi jika mahu memastikan parti itu menang pada PRU akan datang. 
Beliau berkata, pendekatan itu sudah tidak boleh diguna pakai kerana parti kini menghadapi keadaan berbeza. 

Shafie Apdal
  
“Parti komponen perlu melihat perkara ini dari segi rasional dan praktikal serta terus berpegang kepada niat yang sama, iaitu untuk memenangi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden GERAKAN, Datuk Dr Teng Hock Nan, berkata GERAKAN tiada masalah jika ada tawar menawar kerusi antara parti komponen jika pasti parti lain mempunyai peluang lebih cerah untuk menang kawasan itu. 

“Sebagai contoh, BN sudah mencapai persetujuan di beberapa kerusi Parlimen seperti Grik dan Taiping. GERAKAN mendapat semula kerusi Taiping untuk PRU-13 yang dulunya ditandingi PPP dan tidak mustahil kerusi Grik yang kini milik GERAKAN akan dikembalikan kepada UMNO sebagai timbal balik antara rakan parti komponen,” katanya. 

Di KOTA KINABALU, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata langkah BN melakukan pelarasan dan penyesuaian terhadap formula pembahagian kerusi adalah sesuai dengan keadaan dan cabaran politik semasa.

No comments:

Post a Comment