My Add

Tuesday 18 October 2011

Dana Selangor diurus ikut prosedur Perbendaharaan Negara


Khalid Ibrahim

 Bernama

SELASA, 18 Oktober, 2011: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan pengurusan dana negeri itu adalah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Perbendaharaan Negara.
Beliau menafikan dakwaan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed bahawa baki peruntukan penyelenggaraan negeri itu pada 2009 yang berjumlah RM55 juta "dilesapkan" oleh kerajaan negeri.
Abdul Khalid berkata, malah pengurusan dana di Selangor diaudit serta diperakui oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Audit 2009 dan sepatutnya tidak dipertikaikan lagi.

"Pada 27 Februari 1993, Mesyuarat Majlis Kewangan Negara memutuskan mulai 1994, semua kerajaan negeri hendaklah mewujudkan satu Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri yang mana semua pemberian ini dicarum terus ke dalam Kumpulan Wang Amanah tersebut dan semua perbelanjaan direkodkan," katanya dalam kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri dengan kod perakaunan 60002 bagi mengakaunkan terimaan dan bayaran pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri.

Abdul Khalid berkata, penggunaan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) oleh kerajaan Selangor adalah berdasarkan peruntukan yang digariskan oleh arahan Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri.

Beliau berkata pada 2009, kerajaan negeri menerima RM315,627,905 peruntukan penyelenggaraan jalan-jalan negeri daripada kerajaan Persekutuan dengan purata terimaan RM26 juta sebulan.

Sejumlah RM328,751,219.30 digunakan pada 2009 iaitu pembayaran terus melalui Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri berjumlah RM78,751,219.30 dan pindahan kepada Akaun Hasil Disatukan Penyelenggaraan Negeri Selangor berjumlah RM250 juta.

Katanya, baki Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri pada 1 Januari 2009 ialah RM67,533,879.91, manakala baki pada 31 Disember 2009 ialah RM54,410,565.61 dan baki itu kemudian dibawa ke tahun 2010.

"Ini adalah kali terakhir kerajaan negeri memberi penjelasan tentang perkara ini. Jika ada lagi tuduhan penyelewengan melibatkan dana kerajaan tanpa bukti sahih, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menuduh dan media yang sewenang-wenangnya menyiarkan tuduhan itu," katanya.

Pada 13 Oktober lalu, UMNO Selangor dilaporkan meminta Abdul Khalid menjelaskan berhubung dakwaan perlakuan salah tadbir membabitkan wang geran kerajaan negeri bernilai RM55 juta.

Mohd Zin berkata, kerajaan Persekutuan memberikan geran bernilai RM315 juta kepada setiap kerajaan negeri untuk bantuan penyelenggaraan jalan dan kemudahan infrastruktur pada 2009.

Berdasarkan semakan, agihan peruntukan itu hanya membabitkan RM183 juta kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), RM76 juta bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan RM900,000 untuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), katanya.

Mohd Zin mendakwa berdasarkan maklumat yang diperoleh, baki RM55 juta dimasukkan di bawah wang amanah negeri yang tidak diketahui apa tujuannya sedangkan wang itu sepatutnya digunakan bagi menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat.

No comments:

Post a Comment