My Add

Saturday 8 October 2011

Durian runtuh untuk peneroka

Tan Sri Isa Samad
SABTU, 08 Oktober 2011: Datuk Seri Najib Razak berkata peneroka FELDA dijangka menerima durian runtuh yang jumlahnya akan diumumkan kemudian sebelum penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings di Bursa Malaysia, selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan bercadang menyenaraikan FELDA Global menjadi sebuah syarikat berstatus konglomerat global bagi menghasilkan dana.
Beliau berkata, penyenaraian FELDA Global akan mewujudkan sebuah lagi syarikat blue chip perladangan di samping meningkatkan minat pelabur antarabangsa terhadap Bursa Malaysia. 

Walau apa pun, hak dan faedah peneroka akan terus dipelihara melalui pemilikan majoriti saham oleh Koperasi Permodalan FELDA. 

Apa yang mustahak, setiap peneroka akan menerima durian runtuh yang jumlahnya akan diumumkan sebelum penyenaraian dilakukan, katanya.

Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan RM400 juta bagi kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air secara berperingkat di kawasan FELDA terpilih terutama di Pahang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Infrastruktur sistem bekalan air yang beroperasi melebihi 50 tahun tidak lagi dapat beroperasi dengan baik kerana kebanyakannya usang. Keadaan ini menyebabkan berlaku krisis kekurangan dan gangguan bekalan air yang kritikal di sesetengah kawasan FELDA, katanya. 

Presiden Felda Global Group, Datuk Sabri Ahmad, berkata penyenaraian FELDA Global akan menjadi perangsang kepada peneroka FELDA.

Dalam kenyataannya semalam, Sabri berkata, nilai yang direalisasikan akan terus mengalir ke setiap peneroka menerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Khusus untuk FELDA, kami mengalu-alukan penyenaraian FELDA Global menjelang awal tahun depan, yang sekali gus mencerminkan transformasi FELDA sendiri, katanya.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, peneroka mahukan penyenaraian yang berjaya MSM Malaysia Holdings Bhd, cabang perniagaan gula FELDA Global pada Jun dicontohi.

Langkah itu akan menyaksikan peneroka sekali lagi meraih keuntungan berikutan penyenaraian MSM, di mana KPF, yang dimiliki peneroka mendapat keuntungan atas kertas RM300 juta, katanya.

Mohd Isa berkata, pengiktirafan Najib ke atas keupayaan dan kebolehan FELDA untuk terus kekal berdaya saing di celah-celah perubahan global perlu direalisasikan dan dilaksanakan oleh semua peneroka FELDA. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment