My Add

Thursday 20 October 2011

Himpun diteruskan tanpa Pas

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan SOFIAN BAHAROM

Utusan Malaysia
KHAMIS, 20 Oktober, 2011: Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (Himpun) akan meneruskan perhimpunan mempertahankan akidah umat Islam di Shah Alam, Sabtu ini walaupun Pas membuat keputusan untuk tidak menyertai program tersebut.

Pengerusi Bersama Himpun, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pihak sekretariat akan mengumpulkan seberapa ramai masyarakat Islam daripada pelbagai latar belakang atas semangat persaudaraan demi mempertahankan akidah yang satu.

Sesungguhnya beliau berkata, dorongan perhimpunan itu bertitik-tolak daripada keprihatinan terhadap amanah dan tanggungjawab kepada Allah atas kepentingan akidah tauhid yang satu dan bukan menyentuh untuk kepentingan mana-mana parti politik.

''Namun begitu, ingin saya jelaskan di sini bahawa kehadiran parti-parti politik termasuk seluruh kepimpinan dan ahlinya adalah amat dialu-alukan. Oleh itu, kami terus membuka undangan kepada semua kepimpinan Islam dari semua parti politik supaya turut serta dalam perhimpunan ini.

''Kami benar-benar mengharapkan semua pihak memahami bahawa isu yang hendak ditampilkan oleh Himpun ini berkaitan dengan persoalan mempertahankan akidah umat Islam daripada tergugat, pada masa sama mengekalkan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini bagi mengulas keputusan Pas untuk tidak terlibat di dalam program Himpun Sabtu ini.

Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pihaknya telah dimaklumkan bahawa program itu tidak melibatkan parti-parti politik dan oleh itu, Pas mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program.

Mengulas lanjut Azmi berkata, di dalam perhimpunan itu pihaknya mahu menyampaikan mesej bahawa akidah umat Islam mesti dipelihara dan diperkukuhkan dalam sebuah negara berbilang agama.

Satu lagi mesej jelas beliau, ialah mengenai penegasan berhubung larangan menyebarkan dan mengembangkan agama selain Islam kepada umat Islam yang sepatutnya dihormati dan tidak dicabar.

''Melalui perhimpunan ini kita juga mahu menyampaikan mesej supaya semangat perhubungan yang harmonis antara semua penganut agama perlu dipertahankan berdasarkan hak dan kebebasan beragama seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan,,'' ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Penasihat Kehormat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, keengganan Pas menyertai perhimpunan itu membuktikan parti tersebut berkiblatkan kuasa semata-mata.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai talam dua muka, beliau turut mendesak Pas supaya membuat pertimbangan untuk kembali ke pangkal jalan semula dengan menyertai perhimpunan ini.

"Tindakan Pas seolah-olah menolak realiti wujudnya cabaran keruntuhan akidah umat Islam yang berleluasa di negara ini.

"Kenapa Pas menggadai prinsip asas agama ini? Adakah mereka (Pas) melihat kuasa politik itu lebih besar daripada perjuangan mendaulatkan agama? Adakah menjaga hati rakan-rakan pembangkangnya lagi penting?'' soalnya.

Tambah Ahmad Zaki, sepatutnya Pas dengan imej Islamnya berada di barisan paling hadapan bagi menangkis gejala murtad dan bukannya bertindak mengecewakan masyarakat Islam kerana enggan terlibat.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zaharuddin Abdul Rahman yakin perhimpunan itu akan menerbitkan nilai-nilai positif di kalangan penganut agama lain terhadap Islam.

''Melalui perhimpunan ini kita akan mengingatkan mereka supaya menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan dan bukannya bertindak mencetuskan ketegangan agama,'' katanya lagi.

Himpun optimis satu juta

Sementara itu penganjur Himpunan optimis dapat mencapai matlamatnya untuk mengumpulkan satu juta umat Islam, Sabtu ini.

Setiausahanya, Aminuddin Yahaya berkata, setakat ini, sebanyak 2,100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara ini telah menunjukkan sokongan terhadap perhimpunan yang bertujuan menyelamatkan akidah umat Islam daripada gejala murtad itu.

"Sokongan padu umat Islam ini akan diterjemah kepada satu kekuatan serta permuafakatan yang kukuh dalam menolak serta membendung gejala keruntuhan akhlak yang mengancam kedaulatan agama sejak kebelakangan ini," katanya semalam.

Dalam pada itu, Setiausaha Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) Kamarulzaman Mohamad berkata, penyertaan GWGF itu merupakan antara usaha pihaknya menzahirkan sokongan terhadap agenda memelihara akidah umat Islam di negara ini daripada segala bentuk dakyah memurtadkan orang Islam oleh pihak-pihak tertentu.

"Ini kerana, isu membabitkan akidah umat Islam merupakan satu isu sensitif yang wajar diberi perhatian khusus serta dihormati oleh semua pihak bagi menjaga keharmonian kaum serta agama mengikut Perlembagaan Persekutuan.

"Justeru, GWGF akan menghantar lebih 10,000 orang peserta di kalangan warga Felda dari seluruh negara untuk menyertai perhimpunan itu," jelasnya.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pula berkata, pihaknya sentiasa menyokong sebarang kerja-kerja menjaga kesucian agama Islam tanpa mengira fahaman politik.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan semua ahli Perkasa terutama di Selangor dan Wilayah Persekutuan menghadiri perhimpunan itu beramai-ramai bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap usaha murni ini.

"Umat Islam secara amnya, ayuh bersama-sama memberi sokongan terhadap perhimpunan ini sebagai platform perpaduan umat Islam di negara ini demi agama yang kita cintai ini," tambah Ibrahim.

No comments:

Post a Comment